Sabtu, 14 Julai 2018 | 6:49pm
PELAKON, Erra Fazira, sewaktu hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Mind Order di Shah Alam. - Foto Mahzir Mat Isa

Tak manis saya yang berkata-kata - Erra

SHAH ALAM: Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira, memaklumkan tidak pernah ada sebarang perancangan berkaitan hubungannya bersama penyanyi, Shahir Zawawi, sepanjang perkenalan mereka.

Erra menegaskan, mereka masih berkawan, namun tiada perbincangan untuk melangkah ke fasa lain, termasuk bertunang dan sebagainya.

"Seperti yang selalu saya tegaskan sebelum ini, tidak ada apa-apa. Tidak manis untuk saya yang berkata-kata.

"Saya hanya berkawan dan masih menjadi kawannya. Yang berkawan juga adalah saya dan Shahir, belum sampai ke tahap keluarga juga sudah saling mengenali," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Syawal Mind Order, di sini.

Kisah hubungan pasangan ini kembali diperkatakan apabila baru-baru ini Erra memuat naik sebuah video di laman sosial memaparkan dirinya bersama Shahir dan puterinya, Engku Aleesya.


ERRA Fazira (empat dari kanan) bersama barisan artis naungan Mind Order pada majlis hari raya syarikat pengurusan berkenaan di Shah Alam. - Foto Mahzir Mat Isa

Video berkenaan menjadi tular dan dikongsi oleh netizen walaupun Erra sudah memadamkannya.

Berhubung video itu, Erra berkata dirinya tidak menyangka akan menjadi tular, sebaliknya memuat naik rakaman berkenaan sekadar suka-suka di laman sosial yang mula mendapat perhatian, iaitu Tik Tok.

Bercerita lanjut, Erra dalam nada bergurau berkata, beliau belum bersedia menghadiahkan Aleesya bapa baharu memandangkan tidak mempunyai sebarang komitmen dengan lelaki secara serius.

"Kalau tanya pada saya sama ada Aleesya terima atau tidak, kalau dia boleh terima emak baharu, kena juga terima bapa baharu. Tapi belum lagi tiba masanya," kata Erra tertawa.

Berita Harian X