Ahad, 15 Julai 2018 | 2:55pm
FASHA Sandha sedang meniti fasa bahagia dalam hidup. - Foto Mahzir Mat Isa

'Nak tahu tanya Aidil'

SHAH ALAM: Pelakon, Fasha Sandha enggan memberikan sebarang kepastian, sebaliknya menyerahkan kepada Aidil Aziz untuk menjawab pertanyaan mengenai perancangan membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.

Fasha, 34, berkata, sebagai wanita, tidak manis untuk dia mengulas lanjut mengenai perancangan hubungan mereka, namun mengakui, sedang melalui fasa bahagia dalam hidup.

"Persoalan mengenai hubungan kami, rasanya lebih manis jika Aidil yang ulas. Selagi tiada kepastian, lebih baik saya mengunci mulut. Ada baiknya juga jika persoalan itu ditanyakan terus kepada Aidil.

"Andai ditanya mengenai bahagia, memang saya sedang gembira. Sejak dulu lagi, saya memang bahagia.

Hanya itu yang mampu saya katakan. Maaf sangat, saya tidak mampu ulas lebih mengenai hubungan kami," katanya.

Bercerita lanjut mengenai ciri lelaki yang mencuri hatinya, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Natasha itu berkata, paling penting jejaka itu boleh menerima kehadiran dua anaknya yang semakin membesar.

Ditanya mengenai pelbagai reaksi yang diterima selepas hubungannya dan Aidil mendapat perhatian ramai, Fasha berkata, lebih baik dia memberikan perhatian kepada mereka yang memandang positif terhadap perkara itu.

Katanya, dia enggan mengambil pusing cakap mereka yang suka memandang sesuatu dari sudut negatif kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada dirinya.

"Adat apabila kita rapat dengan seseorang, pasti ada yang suka dan sebaliknya. Lebih baik saya ambil kisah mereka yang menyenangi hubungan kami.

"Diikutkan, ramai yang suka, malah memberikan reaksi senang apabila saya memuat naik gambar kami bersama dua anak saya di Instagram, tidak lama dulu," katanya.

Berita Harian X