Ahad, 15 Julai 2018 | 5:33pm
PELAKON, Fizz Fairuz, turut serta pada acara Grand Asian Celebrity Charity Badminton Tournament di Stadium Titiwangsa. - Foto: Aswadi Alias

Almy hamil lima bulan - Fizz Fairuz

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Fizz Fairuz mengakui, teruja menanti kelahiran anak ketiga hasil perkahwinannya dengan Almy Nadia apabila memaklumkan isterinya itu kini hamil lima bulan.

Bakal menimang anak ketiga pada Disember ini, Fizz berkata, mereka masih belum mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan Almy nanti.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata, Nur Afrina Arianna, 3, dan Nur Afirna Aurora, 2, serta anak angkat, Nur Afrina Darwisya, 9.

"Biarpun kandungannya sudah mencecah lima bulan, Almy masih berdepan alahan. Dia masih pening-pening dan muntah. Namun, saya berharap semua urusan sehingga melahirkan anak nanti dipermudahkan," katanya.

Ditemui pada acara Grand Asian Celebrity Charity Badminton Tournament di Stadium Titiwangsa, di sini, Fizz atau nama penuhnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, berkata, dia kasihan apabila perubahan susuk tubuh isterinya sering menjadi sendaan netizen.

Menerima wanita itu seadanya, Fizz berkata, dia menghargai segala pengorbanan Almy sebagai isteri dan ibu membuatkan dia tidak ambil peduli pandangan negatif netizen.

"Kasihan juga isteri kerana setiap kali memuat naik gambar di laman sosial, dia akan dikecam. Disebabkan itu, dia lebih selesa ambil gambar pada bahagian muka saja.

"Isteri pula gemar melayan dan dia akan tertekan setiap kali orang memberitahu, badannya berisi. Saya selalu berpesan kepadanya supaya tidak mengendahkan semua kecaman itu," kata pelakon yang popular menerusi drama Nur Kasih itu.

Menyentuh perkembangan kerjaya seni, Fizz kini giat menjalani penggambaran drama 100 episod, Jodoh Jodoh Anisa yang turut dibintangi Izara Aishah.

Drama lakonannya bersama Nabila Huda, Kamar Kamariah pula dijangka disiarkan menerusi slot Zehra, TV3, pada September ini.

Berita Harian X