Rabu, 18 Julai 2018 | 3:54pm

Shuk runsing berat badan cecah 102 kilogram

KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan pengacara, Shuk Balas mengakui, kesukaran menjalani rutin harian yang mudah membuatkan dia terpanggil untuk menurunkan berat badannya.

Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 31, berkata, dia bagaikan menerima tamparan hebat apabila berat badannya mencecah lebih 100 kilogram, sekali gus mencacatkan penampilannya di skrin televisyen.

"Sebelum ini, saya memang tidak mengambil berat soal berat badan. Bagi saya, ia bukan aspek penting kerana penonton menerima saya seadanya. Namun, saya mula tersedar daripada lamunan apabila berat badan mencecah 102 kilogram.

"Leher saya seperti tidak lagi kelihatan, malah penampilan di skrin televisyen juga kurang kemas. Lebih merunsingkan, saya mudah mengah untuk menjalani rutin harian. Hendak melakukan perkara mudah seperti ikat tali kasut juga malas.

"Bimbang masalah berlarutan, saya mula mendapatkan khidmat pakar nutrisi untuk mengawal pemakanan. Selepas seminggu, saya dapat menurunkan lima kilogram apabila menjauhi karbohidrat dan makanan berminyak," katanya.

Penyampai radio Hot FM itu berkongsi, dia akan memastikan pengambilan air secukupnya iaitu dua liter sehari untuk memudahkan penghadaman dan membersihkan sistem tubuh.

"Pada awalnya, memang sukar kerana saya suka makan. Tetapi, selepas dua minggu, saya sudah terbiasa apabila tidak lagi menjamah nasi dan makanan bergula.

"Saya perlu kuatkan semangat meneruskan misi ini untuk memastikan kesihatan saya baik. Saya mahu kurus bukan kerana mahu kelihatan kacak atau mendapat tubuh badan sasa, sebaliknya kerana kesihatan.

"Lagipun, penampilan turut memainkan peranan penting dalam karier," kata Shuk yang ditemui pada sidang media I Can See Your Voice Malaysia.

Bakal bersiaran menerusi ntv7, program itu menampilkan Shuk dan Alvin Chong sebagai pengacara. Pada setiap episod, enam peserta akan diperkenalkan, namun hanya seorang dikekalkan hasil perbincangan dilakukan ahli panel dan penyanyi jemputan.

Peserta yang kekal itu seterusnya akan bergandingan dengan penyanyi jemputan untuk menentukan sama ada dia mampu menyanyi dengan baik atau sebaliknya.

Program itu menampilkan penyanyi terkenal antaranya Cakra Khan, Pasha Ungu, Virgoun, Wany Hasrita, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black dan De Fam sebagai artis jemputan.

SHUK mula ambil berat penjagaan kesihatan selepas beratnya mencecah lebih 100 kilogram. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X