Khamis, 19 Julai 2018 | 11:22am
ALIF dan Kaka kembali bekerjasama menerusi Sibuk. - Foto Rohanis Shukri
ALIF dan Kaka kembali bekerjasama menerusi Sibuk. - Foto Rohanis Shukri

Alif sanggup berkorban demi Kaka

KUALA LUMPUR : Penyanyi rap dan komposer, Alif tidak ralat melepaskan lagu taruhannya, Sibuk untuk diberikan kepada rakannya, Kaka Azraff.

Bekas anggota Sleeq itu berkata, mengikut perancangan asal, Sibuk bakal dimuatkan dalam album solonya, namun dia beralah apabila Kaka berminat menyanyikan lagu itu.

"Ketika Kaka mencari lagu untuk dijadikan single terbaru, saya beri dia dengar Sibuk. Tidak sangka pula, Kaka terus jatuh cinta, biarpun kali pertama mendengarnya.

"Saya membuat sedikit perubahan terutama dari segi melodi dan lirik untuk disesuaikan dengan cara nyanyian Kaka. Malah, saya turut menyumbang suara untuk memberi lebih warna kepada lagu ini," katanya.

Alif berkata, dia tidak terkilan menyerahkan lagu yang sudah lama berada dalam simpanannya itu kepada penyanyi lain kerana yakin dengan kemampuan Kaka.

Lagipun, kata penyanyi kelahiran Singapura itu, mereka sudah lama bergandingan, malah percubaan menerusi lagu, Bukan Hal Aku membawanya dan Kaka mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-30.

Jelas Alif, menjadi komposer adalah cinta pertamanya, namun kini dia bersedia untuk kembali aktif sebagai penyanyi selepas lama menumpukan perhatian kepada kerja di balik tabir.

"Selepas Sleeq berpecah, saya ada menghasilkan single, Mama. Namun, selepas itu saya tidak lagi aktif menyanyi apabila memberi fokus sebagai komposer.

"Saya lebih selesa bekerja di balik tabir dan banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi antaranya Kaka, Zizan Razak, De Fam, Joe Flizzow dan Adira," katanya.

Berita Harian X