Jumaat, 20 Julai 2018 | 10:08am
WANI Kayrie. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Wani Kayrie tebus kecewa di Indonesia

KUALA LUMPUR: Kekecewaan penyanyi, Wani Kayrie yang gagal menyertai World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2018, minggu lalu terubat apabila bakal beraksi dalam sebuah program realiti, sebelum ke Indonesia mencari peluang lain.

Wani yang popular dengan lagu Jangan Jangan berkata, penyertaannya dalam program realiti itu akan diumumkan minggu depan, seterusnya menyahut cabaran ke Indonesia untuk sebuah pertandingan lain.

"Saya bertuah apabila syarikat rakaman, SRC memberi sepenuh kepercayaan terhadap bakat. Mungkin rezeki saya bukan di WCOPA, tetapi dalam pertandingan lain.

"Saya percaya, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Memang kecewa, namun saya teruja apabila masih mendapat kepercayaan untuk membawa nama negara di mata luar," katanya.

Wani juga berharap, isu pembatalannya menyertai WCOPA 2018 di Hollywood, California tidak disalah anggap kerana ia bukan berpunca daripada masalah penajaan.

Dia sebaliknya, membuat keputusan menarik diri apabila memikirkan kos keseluruhan untuk ke sana terlalu besar, mencecah RM20,000.

"Bukan tiada penaja kerana sudah beberapa pihak sudah menyatakan persetujuan untuk menanggung perbelanjaan saya di sana.

"Selepas memikirkan kos yang besar, selain pernah menyertai pertandingan itu, saya batalkan niat ke sana. Memang ia keputusan yang sukar, namun saya sudah mempertimbangkan perkara itu dari pelbagai sudut.

"Cuma, mungkin terdapat sedikit salah faham apabila ada pihak menganggap saya tidak jadi bertanding kerana masalah dana," katanya.

Terdahulu, dalam satu laporan menyatakan, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 18, menarik diri daripada menyertai pertandingan nyanyian itu disebabkan ketiadaan penaja.

Wani sebelum ini, pernah menyertai pertandingan yang sama pada 2012 dalam kategori junior dan membawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Berita Harian X