Isnin, 23 Julai 2018 | 8:27pm
HAMIDAH Abdullah menyiram air mawar di pusara suaminya pelakon dan penggiat seni, Khalid Salleh selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas (Kampung Tengah). - Foto Sairien Nafis
M Nasir

Anak seni hilang 'sifu'

KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon dan pengarang disegani, Khalid Salleh, 70, diratapi anak seni yang menyifatkan idea serta kreativitinya istimewa, selain berada dalam kelas tersendiri.

Dianggap aset seni negara, kehilangan arwah yang mesra disapa 'Wak Khalid', mengejutkan teman seperjuangan yang melihat bagaimana tokoh ini cekal berkarya, namun 'menyembunyikan' kesakitan ditanggung.

Komposer tersohor, Datuk M Nasir terkejut dengan berita pemergian teman seperjuangannya itu.

"Saya baru saja menziarahi arwah, kira-kira dua minggu lalu... Ketika itu, saya lihat, arwah masih kuat semangat.

"Tak sangka pemergian arwah begitu cepat. Saya sedih apabila mendapat tahu berita ini... Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya kepada BH Online.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ampang Puteri, dekat sini, pada jam 3.20 petang tadi. Allahyarham dikatakan mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital, pagi tadi.

Pelakon veteran, Fauziah Nawi mengaku ralat dan sedih tidak dapat menziarahi Allahyarham. Ini disebabkan beliau terikat dengan penggambaran di Pasir Putih, Kelantan.

FAUZIAH Nawi. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Saya dapat tahu selepas mendapat mesej daripada rakan. Saya dan arwah makin rapat apabila menjalin kerjasama dalam projek teater Anak Alam.

"Malah, keluarga arwah sudah menjadi sebahagian daripada famili saya. Arwah sangat baik... Pantang jumpa, beliau mesti ajak minum dan belanja makan," katanya.

Fauziah berkata, Allahyarham pernah membintangi teater Opera Ayu Cendana arahannya dengan memegang watak Wak Sudar.

"Itu antara kenangan manis kami... Cuma saya sedih tidak dapat menziarahi arwah buat kali terakhir," katanya.

Fauziah Ahmad Daud yang pernah beraksi bersama Khalid dalam teater Malam Haram berkata, arwah adalah insan seni yang memiliki pengisian hebat dan bijak.

Tambahnya, selepas Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Khalid juga meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik di Taipei, pada 1998. Ini membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri dan menjadi rujukan bagi bakat baharu yang mahu bergelar pelakon.

"Saya bertuah kerana pernah berlakon dalam dua naskhah bersama arwah iaitu sebuah drama pada era 1980-an dan pentas teater.

"Saya ralat kerana pada hemat saya, arwah bagaikan insan seni yang kurang didendang. Beliau sebenarnya wajar diberi lebih pengiktirafan," katanya.

Pelakon veteran, Normah Damanhuri pula mengenang Allahyarham sebagai insan yang menjadi panduan kepada semua pelakon setiap kali berada di set penggambaran.

NORMAH Damanhuri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Normah mengaku peluang berlakon dengan arwah adalah suatu penghargaan, apatah lagi dapat menguasai ilmu penjiwaan, penghayatan dan lakonan.

"Saya bertuah kerana berpeluang berguru dengan arwah. Bukan senang untuk berganding dengannya.

"Bagi saya, arwah ada banyak karya seni yang besar dan tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu," katanya yang berganding dengan Khalid dalam filem Jogho dan teater Bakai.

Sementara itu, Betty Banafe yang mengenali arwah sejak kecil memberitahu, Allahyarham adalah lambang insan seni yang kaya dengan nilai estetika.

"Saya anggap arwah insan seni yang aneh namun ada kualiti dan kredibiliti yang sangat tinggi. Saya kenal arwah sejak kecil dan melihat beliau melukis di kedai milik ayah saya," katanya.

Berpeluang berlakon dengan arwah dalam filem Buai Laju Laju, Betty berkata, mutu lakonan arwah luar biasa dengan setiap gerak-geri serta bahasa tubuh Khalid beraksi sama.

"Arwah mempunyai daya seni yang menarik. Biarpun dianggap pelik tetapi monolog atau apa juga yang dilakukannya, akan terus meresap ke jiwa penonton.

"Arwah juga tidak sombong, sangat kelakar dan bersahaja," katanya.

Generasi baharu, Tam Suhaimi yang beraksi bersama arwah dalam filem Kaki Bakar menyifatkan Khalid sebagai guru dalam bidang seni dan tidak pernah meninggi diri.

Tam menambah, arwah mempunyai aura besar sehingga mampu memberi semangat kepada pelakon lain di lokasi penggambaran.

"Saya masih ingat Wak membantu saya bertutur dalam dialek Jawa ketika berlakon dalam filem Kaki Bakar. Disebabkan aura Wak, saya rajin turun ke set penggambaran walaupun tiada babak saya," katanya.

Biodata

  • Khalid Salleh dilahirkan pada 29 Februari 1948.
  • Menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi filem Jogho.
  • Meraih dua trofi Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Jogho dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Azizah The Legend.
  • Antara filem lakonan Allahyarham adalah Penghujung Malam, Azizah The Legend, Jogho, Kaki Bakar, Buai Laju-Laju dan Hanyut.

Berita Harian X