Selasa, 24 Julai 2018 | 5:31pm
ALIFF teliti dalam membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga. - Foto Mohd Khairul Helmy Nohd Din
ALIFF Aziz bersama isteri Bella Astillah dan anak mereka Mohamad Ayden Adrean. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Anak ubah sikap Aliff Aziz

KUALA LUMPUR: Pernah diuji kontroversi yang memalit tanggapan negatif umum terhadapnya, penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 27, mengakui, pengalaman itu banyak membentuknya menjadi insan lebih matang.

Kehadiran anak sulung, Ayden Adrean, setahun lalu juga mengubah Aliff menjadi manusia lebih bertanggungjawab untuk menggalas peranan sebagai ketua keluarga.

Penyanyi kelahiran Singapura itu berkata, dia kini semakin menitikberatkan soal keluarga, malah semakin teliti dalam soal masa kerana tidak mahu terlepas momen melihat anak kesayangan membesar di depan mata.

"Ayden sudah semakin banyak kerenah dan sebagai ayah, saya perlu pandai membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Jadual kerja saya agak padat, jadi saya perlu mencuri masa untuk bersama Ayden.

"Saya bekerja keras demi masa depan anak. Setiap tawaran yang datang saya terima dengan penuh syukur. Alhamdulillah, rezeki untuk Ayden sentiasa ada," katanya.

Mengakui masih terlalu awal untuk memikirkan soal cahaya mata kedua, suami kepada Bella Astillah itu berkata, dia kini semakin memahami erti sebenar kehidupan berkeluarga.

"Seperti ibu bapa lain, saya dan isteri juga mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depan Ayden. Sudah tentu, kami mahu dia mengecapi kehidupan yang terbaik dan itu yang sedang saya usahakan," katanya.

Ditemui pada majlis sesi ramah mesra bersama pelakon drama, Sejuta Rasa Buat Adelia, baru-baru ini, Aliff berkata, dia akur apabila namanya kini lebih menyerlah menyerlah sebagai pelakon. Namun, itu tidak bermakna dia sudah melupakan dunia seni suara.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu berkata, dia masih belum bertemu material yang serasi untuk kembali fokus kepada kerjaya itu.

"Lakonan memang memenatkan, tetapi saya puas apabila penonton memberikan pelbagai komen positif. Sama juga seperti nyanyian, tetapi saya tidak boleh mengejar kedua-duanya serentak. Saya lebih selesa selesaikan satu persatu kerja.

"Ketika ini, saya lebih fokus kepada bidang lakonan, pada masa sama, turut mencari material yang sesuai sebelum kembali ke studio rakaman. Insya-Allah, akan ada lagu baharu daripada saya. Cuma, saya tidak mahu umumkan terlalu awal.

"Ketika ini, ada beberapa tawaran berlakon yang sedang menanti. Saya juga perlukan masa untuk berehat seketika dan memberi tumpuan kepada keluarga. Mungkin selepas itu, baru saya boleh aktif menyanyi semula," katanya yang akan muncul dengan drama baharu, 13 episod bulan depan.

Berita Harian X