Rabu, 25 Julai 2018 | 11:56am
SITI dan Faizal galas tanggungjawab sebagai juri tetap program realiti, Big Stage.

Siti, Faizal janji tak garang

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi berkaliber negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir bersepakat untuk membimbing bakat baharu dengan tegas, namun tidak sehingga meninggikan suara kepada mereka.

Menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap program realiti, Big Stage, Siti, 39, berkata, pertandingan itu mengingatkan perjalanan awalnya memulakan langkah dalam industri muzik.

"Saya akan tegas, tetapi tidak garang sehingga meninggikan suara kerana saya bukan begitu. Saya akan cuba memberikan panduan terbaik untuk membantu mereka mengukuhkan lagi tapak dalam industri hiburan," katanya.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan ini berkata, dia bersetuju menggalas peranan itu kerana konsep yang diketengahkan program itu menarik dan berbeza daripada rancangan realiti sedia ada.

Bakal bersiaran di Astro Ria mulai 5 Ogos ini, Big Stage menampilkan 10 bakat muda yang sudah menjadi penyanyi iaitu Sissy Imann, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Tajul, Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi dan Wani Kayrie.

Kata Siti lagi, peserta yang bertanding juga perlu serius mahu jika mahu membina nama sebagai penyanyi dan tidak hanya selesa di platform media sosial.

"Mereka perlu berani untuk bersaing di pentas sebenar dan bukan lagi menyanyi untuk suka-suka," katanya.

Sementara itu, Faizal pula berkata, dia akan memberikan komen yang membina dan berkongsi pengalaman untuk memperbaiki mutu persembahan setiap peserta.

Faizal yang bermula menerusi program realiti, One In A Million berkata, setiap juri mempunyai cara tersendiri, namun dia menekankan pengisian dan kritikan yang memberi manfaat kepada peserta.

"Program ini menarik kerana peserta mempunyai pengaruh yang tersendiri di laman sosial. Mereka perlu tahu, menyanyi bukan setakat untuk mencari populariti kerana tanggungjawab sebenarnya jauh lebih besar," katanya.

Berita Harian X