Rabu, 25 Julai 2018 | 1:55pm
NOORKHIRIAH teringin timang anak perempuan. Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Noorkhiriah sanggup ambil anak angkat

KUALA LUMPUR: Pelakon berkarakter, Noorkhiriah mengakui, keinginan menimang cahaya mata perempuan semakin membara, malah bersedia mengambil anak angkat jika rezeki tidak menyebelahinya untuk hamil lagi.

Noorkhiriah yang sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Hudhaifah , 9, dan Muhammad Yusoff, 7, berkata, keinginan itu pernah diluahkan menerusi laman Instagram.

"Hasrat untuk menimang anak perempuan sudah lama terpendam. Dapat seorang pun cukup untuk buat saya gembira, sekurang-kurangnya saya mempunyai peneman di rumah. Setiap kali melihat gambar bayi perempuan di laman sosial, pasti keinginan itu datang.

"Suami dan emak menyokong hasrat saya untuk mengambil anak angkat perempuan, malah emak sanggup menjaga kalau saya terikat dengan kerja seni," kata pelakon yang popular menerusi drama, Nur yang ditayangkan Ramadan lalu.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) TV3 itu berkata, pada usia 42 tahun, banyak faktor perlu dipertimbangkan sekiranya dia mahu hamil kembali.

"Wanita mana yang tidak mahu hamil, cuma belum rezeki untuk saya menambah cahaya mata lagi. Lagipun, saya sudah mencecah usia 42 tahun, banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum kembali mengandung," katanya.

Pada masa sama, Noorkhiriah bersyukur, perjalanan rumah tangganya sentiasa harmoni sejak dia dan suami disatukan pada 11 November 2006.

"Alhamdulillah, Allah mempertemukan saya dengan jodoh yang terbaik sepanjang 12 tahun ini. Namun, akan datang kita tidak pernah tahu kerana lumrah dalam kehidupan berumah tangga, pasti ada naik dan turun.

"Saya jarang memuji suami, namun bersyukur kerana dia sangat baik dan memahami. Saya akur, diri juga tidak sempurna, tetapi Allah hantar orang yang baik untuk melengkapkan hidup saya. Alhamdulillah," katanya.

Noorkhiriah berkata, populariti Nur yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin turut membuka pintu rezeki yang lebih luas, sama ada dalam kerjaya seni atau perniagaan.

"Saya ada memenuhi tawaran berlakon daripada beberapa produksi, malah tidak sabar kembali ke lokasi sambungan Nur. Kalau tiada aral, penggambaran untuk musim terbaru akan dimulakan hujung tahun ini," katanya.

Berita Harian X