Khamis, 26 Julai 2018 | 9:57am
KUALA LUMPUR 17 JULAI 2018. Pelakon, Azrel Ismail pada pra tonton filem Pulang arahan Khabir Bhatia di GSC Pavilion. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Saya pelakon tak ada kontroversi - Azrel Ismail

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azrel Ismail, sedar namanya kian tenggelam dengan kebangkitan beberapa bakat lebih muda di persada seni.

Begitupun, bintang Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu berasakan situasi terbabit adalah lumrah dunia hiburan, apatah dirinya tidak memiliki produk baharu yang boleh dikongsi bersama peminat.

"Biasalah, apabila kurang liputan mengenai saya di media, diri ini dilihat seperti hilang seketika. Apatah lagi apabila drama lakonan saya juga belum disiarkan. Saya tidak mempunyai produk untuk dihebahkan.

"Pada tahun ini, hanya drama Cik Sempurna yang baru menemui penonton menerus slot Dahlia di TV3. Namun selepas ini, filem Pulang pula akan menjengah pawagam. Jadi, sedikit sebanyak kewujudan saya diharap akan disedari," katanya ketika ditemui pada sebuah acara, baru-baru ini.

Pulang arahan Kabir Bhatia yang menampilkan Remy Ishak dan Puteri Aishah sebagai teraju utama ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini.

Menurut aktor berusia 34 tahun itu, dia juga sunyi daripada kontroversi, yang membuatkan namanya tidak sepanas beberapa artis lain.

"Ada orang mengatakan, saya memerlukan kontroversi untuk memastikan nama sentiasa menjadi perhatian. Namun, saya berharap biarlah drama atau filem lakonan saya yang menjadi bualan. Jadi, nama saya juga akan kembali naik selepas itu," katanya kepada HIP.

Azrel akur, ketika beberapa artis lelaki lain mencuri tumpuan peminat, dirinya sedikit demi sedikit bagai 'diketepikan'.

"Ia sememangnya sudah menjadi lumrah dunia seni. Apabila ada bakat baharu yang tiba-tiba 'meletup', pastilah ramai yang ingin mengetahui segala perkembangan artis terbabit. Saya juga pernah melalui situasi itu.

"Namun, saya tidak melihat kebangkitan artis lebih muda sebagai cabaran. Saya sebaliknya percaya, persaingan dalam industri kita sangat sihat dan masing-masing mempunyai peranan sendiri.

"Pihak produksi juga mempunyai strategi dan perancangan mereka tersendiri. Mungkin ketika ini, nama tertentu menjadi pilihan masing-masing. Semuanya bergantung kepada keperluan, kesesuaian masa dan skrip," katanya yang menunggu selama enam tahun sebelum mampu mencipta nama dalam lakonan.

Hangat digosipkan dengan Ruhainies sebelum ini, Azrel pernah mengatakan dirinya mungkin menamatkan zaman bujang pada tahun ini, bersama seorang aktres. Bagaimanapun, sehingga sekarang bagai tiada apa perkembangan terkini mengenai hasrat hatinya itu.

"Berhubung soal terbabit, saya cuma mengatakan ia suatu kemungkinan. Setakat ini, saya belum tergerak ke arah itu.

"Saya dengan Ruhainies kekal berkawan baik. Namun, tiada apa-apa hubungan istimewa antara kami. Kalau diikutkan, dialah artis perempuan paling rapat dengan saya," ujarnya sambil memuji kelembutan dan kesopanan pelakon cantik itu.

Berita Harian X