Khamis, 26 Julai 2018 | 12:36pm
AHMAD Izham Omar (kiri) dan bapa, Omar Othman hadir pada pra tonton filem Pulang arahan Khabir Bakhtiar di GSC Pavilion. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Serap semangat abah'

KUALA LUMPUR: Semangat kental bapa yang sanggup berkorban dan bertarung nyawa demi sebuah kehidupan yang dipaparkan dalam filem arahan Kabir Bhatia, Pulang, boleh menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Mula ditayangkan di seluruh negara, hari ini, filem Pulang mengusik emosi anak Othman Alias iaitu Omar, tatkala melihat kisah membabitkan dirinya, anak dan kedua orang tuanya dipaparkan di layar lebar.

Omar berkata, kisah dipaparkan dalam Pulang mampu menjadi inspirasi dan motivasi kepada penonton.

"Selain kisah cinta yang bersifat universal, Pulang ada unsur pengajaran menerusi watak dipersembahkan.

"Menerusi watak bapa, Othman, kita belajar mengenai sifat semangat ingin memajukan diri dan sanggup berkorban meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki.

"Watak ibu, Che Thom pula adalah lambang kecekalan dan kesetiaan seorang wanita yang sanggup menanti suami selama 61 tahun.

"Walaupun nampak seperti dia amat marah dengan suaminya, dialah yang meminta saya mencari dan membawa abah pulang ke kampung," katanya kepada BH Online.

Omar mengaku sebak melihat satu persatu babak penting 'berputar' kembali di depan mata.

"Apabila melihat kembali babak pertemuan dua anak beranak yang berlaku di rumah kelab di Liverpool, saya jadi sebak.

"Masakan saya boleh lupa peristiwa itu walaupun sudah lebih 50 tahun ia berlaku. Malah, dialog yang dilafazkan abah saya, lakonan Remy Ishak juga sama dengan ayat sebenar.

"Walaupun hubungan kami tidak rapat selepas sekian lama terpisah, situasi itu menyentuh perasaan saya. Tanpa disedari bergenang air mata saat menontonnya," katanya.

Bercerita lanjut mengenai babak yang menjadi tunjang kepada filem terbitan Primeworks Studio itu, Omar berkata, impak yang diberi terhadap babak itu cukup kuat.

Secara tidak langsung, dia berjaya menunaikan impian arwah bapanya yang teringin melihat dirinya.

"Berdasarkan apa yang diceritakan oleh Pak Cik Jamil lakonan Datuk Rahim Razali dalam filem itu, abah saya memang teringin sangat hendak berjumpa saya.

"Alhamdulillah, hasrat abah tertunai juga akhirnya. Dalam pertemuan itu, memang kami bersembang mengenai hasrat untuk membawanya pulang bertemu dengan ibu.

"Bagaimanapun, tiada jawapan pasti diberi. Mungkin kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"Mungkin abah tidak mahu menyusahkan ibu yang terpaksa menjaganya kalau benar dia sakit. Ini membuatkan hasrat saya itu diambilnya secara acuh tidak acuh sahaja.

"Diakui terselit juga rasa terkilan kerana tidak dapat membawa abah pulang seperti apa yang diimpikan ibu saya apabila abah meninggal dunia di sana," luah lelaki berusia 76 tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar mengaku sukar menghasilkan naskhah yang begitu dekat dengan jiwanya.

"Fokus filem ini yang mengisahkan seorang kelasi kapal yang sanggup meninggalkan keluarga demi memajukan diri, pada saya sangat menarik.

"Tidak banyak cerita Melayu yang mengetengahkan tema seperti itu.

"Untuk menghasilkan skrip ini, saya akui bukan mudah. Selepas tiga kali membuat rombakan akhirnya saya mengalah," katanya.

Ditanya apakah filem itu juga adalah sebuah dedikasi untuk ayahnya, Omar, Ahmad Izham lebih selesa melihat perkara itu dari sudut yang lebih besar.

"Daripada segi peribadi, mungkin menepati kerana filem ini memaparkan tiga generasi keluarga kami.

"Bagaimanapun, apabila ia dipindahkan ke layar lebar, kisahnya bukan lagi milik kami. Ia dikongsi dengan penonton lain kerana saya percaya, tema yang diketengahkan juga pernah dilalui insan lain," katanya.

Berita Harian X