Khamis, 26 Julai 2018 | 1:10pm
PUTERI Sarah Liyana
PUTERI Sarah Liyana

Puteri Sarah hamil anak kedua

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih membahagiakan Puteri Sarah Liyana apabila disahkan hamil anak kedua, kira-kira lima minggu.

Isteri pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof itu teruja hasrat berbadan dua tercapai selepas melahirkan anak sulung, Syaikhul Islam yang kini berusia 11 bulan.

"Alhamdulillah atas berita dan nikmat indah ini... Saya memang merancang mendapat cahaya mata kedua selepas melahirkan anak pertama.

"Ketika ini, kandungan saya sudah lima minggu," katanya kepada BH Online.

Sarah berkata, doktor menasihatkannya berehat dan mengelak melakukan kerja berat. Akuinya, ketika ini, dia belum berdepan alahan teruk.

"Jika hendak diikutkan, dukung anak pun doktor tak benarkan... Tapi saya ada juga mendukung anak 'curi-curi'," katanya.

Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 33, berkata, doktor pada mulanya menasihatkan dia memberi tempoh atau jarak masa sebelum mengandung anak kedua.

"Doktor minta biarlah anak berusia setahun baru hamil. Tapi saya tegaskan kepada suami bahawa usia saya sudah meningkat dan mahu anak segera.

"Jadi, kami terus mencuba... Tak sangka rezeki itu datang ketika masing-masing sibuk. Syamsul tahu-tahulah sedang sibuk dengan filem Munafik 2. Saya pula akan melancarkan produk kosmetik, tidak lama lagi," katanya yang menghadiri majlis pelancaran jamu, Mutyara milik Tya Arifin di ibu negara, semalam.

Syamsul dan Sarah berkahwin pada 2014.

Berita Harian X