Isnin, 30 Julai 2018 | 5:01pm
SYANIE ketika beraksi bersama Abam dalam program, Bintang Bersama Bintang, Februari lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SYANIE ketika beraksi bersama Abam dalam program, Bintang Bersama Bintang, Februari lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Syanie pasrah hilang tawaran berlakon

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Syanie Hisham pasrah apabila rezekinya dalam dunia lakonan semakin suram, malah menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

Syanie atau nama lengkapnya, Syaniza Hisham, 44, berkata sejak setahun lalu, dia sudah jarang menerima tawaran berlakon, sebaliknya hanya sesekali menyerikan program komedi sebagai bintang undangan.

Dia yang memulakan kerjaya lakonan sejak 1991 mengakui, sudah dapat menerima kenyataan untuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada tawaran berlakon sebagai punca pendapatan utama.

"Julai tahun lalu saya ada membintangi drama, Jangan Ikut Aku, tetapi selepas itu, tawaran agak perlahan. Sempat juga saya menyiapkan drama Budak Usin arahan Shahrulezad Mohameddin sebelum kembali berehat.

"Saya perlu akur, stesen mempunyai ramai pilihan pelakon berbadan gempal yang komersial. Mereka juga lebih popular dan mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial. Sebagai pelakon senior, saya tidak punya kelebihan itu.

"Sekarang, dapat sesekali berlakon, sudah membuat saya gembira. Dapat juga saya lepaskan rindu ke lokasi penggambaran, memandangkan permintaan sudah tidak lagi sekerap dulu," katanya.

Syanie yang pernah membintangi filem seperti Senario The Movie, Laila Isabella, Buli Balik dan Apa Kata Hati berkata, sejak beberapa tahun lalu, dia mula mempelbagaikan cabang kerjaya untuk mencari sumber pendapatan.

"Saya sudah tidak lagi aktif menerbitkan drama atau filem, sebaliknya lebih menumpukan fokus kepada penganjuran acara. Bersama Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), kami membuka ruang kepada artis yang ingin berniaga.

"Peluang menjelajah ke beberapa negeri di seluruh negara menerusi pertubuhan itu membuka ruang untuk saya kembali bertemu peminat. Dapat juga menampung kehidupan.

"Selain itu, saya juga mengusahakan bisnes katering dan perniagaan atas talian. Apa saja peluang depan mata, saya akan rebut. Saya tidak boleh duduk bergoyang kaki kerana hidup perlu diteruskan," katanya.

Berita Harian X