Selasa, 31 Julai 2018 | 11:45am
TUNKU Hanis sudah lebih 10 tahun rapat dengan Fathia. - Foto Aswadi Alias

Beri Fathia ruang mulakan hidup baharu - Tunku Hanis

HULU LANGAT: Pelakon Tunku Hanis berharap, semua pihak memberi peluang kepada Fathia Latiff untuk bangkit dan membina hidup baharu, bukan terus mengungkit kesilapan yang pernah dilakukannya.

Tunku Hanis atas nama sebenarnya, Tunku Norhanis Tunku Salman, 27, yang sudah lebih 10 tahun mengenali Fathia berkata, setiap insan layak diberikan kesempatan untuk memperbetulkan kesilapan mereka.

Justeru, dia yang dikenali menerusi deretan drama antaranya Suamiku Encik Sotong, Sedetik Cinta, Antara Garisan dan Selagi Masih Ada berharap, orang ramai tidak terus melemparkan persepsi negatif terhadap pelakon itu.

"Saya mengenali Fathia sebelum dia mencipta nama sebagai pelakon. Saya tahu ramai yang melontarkan pelbagai persepsi negatif terhadapnya, termasuk dikatakan sebagai pelakon bermasalah.

"Saya tidak peduli apa tanggapan orang lain terhadapnya kerana sebagai sahabat, dia juga mempunyai sisi yang baik. Disebabkan itu, saya marah jika ada pihak yang terlalu mudah menghakimi orang lain yang pernah berbuat silap," katanya.

Pelakon Memori Cinta Suraya itu berkata, ketika Fathia mengalami masalah dengan sebuah produksi, dia pernah mewakili sahabatnya bertemu mereka untuk meminta maaf.

Namun kata Tunku Hanis, itu tidak bermakna dia sanggup menutup sebelah mata apabila Fathia membuat kesilapan.

"Semua orang pernah buat silap dan ada yang nakal kerana masih belum matang. Jika dia ada buat silap, saya tetap akan menasihatkannya," katanya yang turut berkawan rapat dengan pelakon, Ozlynn Wati.

Pelakon tinggi lampai itu kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Raisha 2. Menerusi drama arahan Nizam Zakaria itu, Tunku Hanis memegang watak sebagai Tini, sahabat kepada Raisha, lakonan Datin Diana Danielle.

Berita Harian X