Khamis, 2 Ogos 2018 | 1:27pm
KEHADIRAN Shazrik sebagai suami melengkapkan semula hidup Dynas dan anak. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dynas kekok kembali jadi isteri

KUALA LUMPUR: Empat tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal, pelakon, Dynas Mokhtar mengakui, masih cuba menyesuaikan diri apabila kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Suri hati Shazrik Din itu berkata, dia masih kekok menerima kehadiran insan baharu dalam hidupnya selepas lama bersendirian, namun gembira bertemu jodoh buat kali kedua.

"Kehadiran Shazrik melengkapkan semula kehidupan saya dan anak-anak. Namun, secara jujur, saya masih lagi kekok kerana sebelum ini, semua urusan dilakukan bersendirian.

"Saya memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan perubahan ini. Saya bagaimanapun, bahagia melihat anak begitu selesa dengan Shazrik. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja.

"Lebih bermakna apabila kini saya mempunyai seseorang untuk melindungi dan menjaga saya serta anak," katanya kepada BH Online.

Dynas dan Shazrik yang juga ahli perniagaan diijabkabulkan pada 21 April lalu di kediaman keluarganya di Shah Alam, Selangor.

Menerusi perkahwinan pertama, Dynas atau nama lengkapnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar dikurniakan dua anak Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5.

Ditemui pada majlis memperkenalkan Squad Selebriti Shopee, di sini, Dynas tampil dengan jenama DNA by Dynas Mokhtar khusus buat ibu yang masih menyusukan anak, tetapi mementingkan gaya dan penampilan.

"Kebanyakan ibu sukar bergaya kerana masih mempunyai anak kecil yang menyusu badan. Koleksi ini selesa dipakai, pada masa memudahkan mereka menyusukan anak ketika di luar," katanya.

Berita Harian X