Khamis, 2 Ogos 2018 | 7:02pm

Pulang 'berlayar' ke luar negara

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Primeworks Studios, Pulang yang mencatat kutipan lebih RM1 juta selepas seminggu ditayangkan, bakal meneroka pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, ketika ini, Pulang dipertandingkan di Asia Pacific Screen Awards (APSA) di Brisbane, Australia.

"Memang ada perancangan membawa keluar filem ini dan kita masih dalam proses pemasaran. Apabila mendapat pengesahan negara mana yang hendak dibawa, kita akan maklumkan nanti.


Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar (kanan) bersama bapanya Omar Othman pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Omar Othman (kanan) dan anaknya, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Berapa negara masih belum diputuskan lagi... Kalau boleh kita sasarkan semua negara," katanya selepas majlis sepetang bersama beliau membicarakan mengenai filem Pulang di Balai Berita di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, bapa Ahmad Izham, Omar Othman yang menjadi inspirasi kisah yang dipaparkan dalam filem arahan Kabir Bhatia itu. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Mula ditayangkan di seluruh negara, Khamis lalu, Pulang yang diilhamkan 70 peratus kisah benar dalam kehidupan Omar dan keluarganya, disasarkan mengutip RM4 juta.

Ahmad Izham berkata, Primeworks Studios juga akan membawa Pulang menyertai lebih banyak festival filem antarabangsa.

"Buat masa ini, filem ini dipertandingkan APSA. Kita baru dapat pengesahan filem ini dipilih untuk dipertandingkan.

"Banyak lagi festival filem akan kita cuba masuk untuk pasarkan Pulang," katanya sambil menambah filem terbabit turut mendapat sambutan menggalakkan di Brunei.


Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar (dua kanan) bersama bapanya, Omar Othman pada sesi autograf selepas majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Terkejut melihat sambutan penonton, Ahmad Izham menganggap gandingan pelakon utama, Remy Ishak dan Puteri Aishah menjadikan Pulang sebagai penanda aras dalam pembikinan filem tempatan.

"Kalau dapat kutip antara RM4 juta hingga RM5 juta sudah cukup menggembirakan saya. Ini kerana cerita dipaparkan bukan kisah tipikal Melayu.

"Kemungkinan pempamer fikir Pulang ada kelainan membuatkan filem ini mampu bertahan," katanya.

Ahmad Izham mengaku tidak pernah melihat penonton memberi maklum balas positif hingga wujud tanda pagar #pulang.

"Kalau diikutkan, cerita-cerita Malaysia, maklum balas diterima daripada penonton kurang daripada 8/10.

"Saya terkejut apabila filem ini, orang bagi sembilan... Hingga ada yang beri 12/10. Ada yang tonton lima kali.... Saya sangat gembira dan berharap filem ini jadi penanda aras untuk karya tempatan," katanya.

Pada majlis itu, Omar berkongsi cerita bagaimana beliau menjejaki ayahnya di Liverpool, United Kingdom (UK), selepas 19 tahun terpisah.

Omar berkata, detik pertemuan dengan arwah ayah amat menyentuh hati. Malah, katanya, apabila dipaparkan dalam layar, babak itu sama seperti apa yang dialami, lebih 50 tahun lalu.

"Saya bertemu ayah selepas seminggu tiba di London... Itulah detik pertama apabila saya datang bersama dua sahabat bertemu arwah di Malay Sailor's Club.

"Mula-mula ayah tengok dua kawan saya yang berada di kiri-kanan... Selepas itu, barulah ayah tengok saya dari atas hingga ke bawah.

"Ayah sebut, engkaulah Zainal (nama panggilan di kampung)... Lalu saya mengangguk," katanya yang berharap kisah pengorbanan, cinta dan kekeluargaan dapat diselami penonton.

Pulang yang turut dibintangi Erwin Dawson, Azrel Ismail, Datuk Jalaluddin Hassan dan Alvin Wong, menelan kos pembikinan kira-kira RM6 juta.

Daripada jumlah itu, RM2 juta diperoleh daripada geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar pada majlis Sepetang Bersama Ahmad Izham Omar untuk promosi filem Pulang di Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X