Jumaat, 3 Ogos 2018 | 2:34pm
PELAKON Rise: Ini Kalilah, Mira Filzah, ketika sidang media filem berkenaan di Hulu Klang. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Masih mahu berlakon di televisyen

HULU KLANG: Pelakon, Mira Filzah, akan tetap menerima undangan berlakon drama bersiri mahupun telefilem walaupun dirinya kini mula aktif beraksi untuk naskhah tayangan layar perak.

Enggan meletakkan dirinya sebagai pelakon filem saja, Mira berkata, masing-masing mempunyai pendirian dan alasan sendiri sama ada mahu membuat penampilan di pawagam atau televisyen semata-mata.

Bagi Mira atau nama penuhnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, kemunculan dalam drama dan telefilem adalah antara promosi berterusan buat seseorang pelakon.

"Saya tidak kisah pun untuk kembali kepada lakonan siri TV walaupun sudah mula berlakon filem kerana yakin setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri, baik dari segi pemilihan naskhah mahu pun penerimaan penonton.

"Kita mungkin hanya muncul menerusi sebuah atau dua filem setahun, manakala drama berantai menemui penonton dalam tempoh panjang, sekali gus membuatkan orang ramai sentiasa nampak kerja kita.

"Saya pula tidak mahu meletakkan diri hanya ekslusif untuk layar perak sebab saya bermula di televisyen. Malah, melihat senario semasa, orang ramai tetap pergi ke panggung walaupun kerap nampak wajah kita di kaca TV.

"Perlu diakui, peminat sanggup membeli tiket wayang bukan kerana kerja kita seorang, sebaliknya didorong pelbagai elemen termasuk barisan pelakon, plot cerita selain pelbagai faktor tambahan," katanya pada sidang media filem Rise: Ini Kalilah.

Filem arahan tiga sutradara iaitu Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha dan Prem Nath itu mengambil inspirasi Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan peralihan kerajaan baharu.

Selain Mira, yang baru-baru ini membintangi Sangkar, filem yang bakal ditayangkan pada Hari Malaysia, bulan depan, turut membariskan Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan, Jenn Chia dan Shashi Tharan.

Berita Harian X