Selasa, 7 Ogos 2018 | 7:53pm
IBU dan ayah kepada Saiful Nizen, Kamisah Nasri dan Mohd Ayob Abdul Samad melihat berita berkenaan anaknya yang disiarkan oleh Akhbar Harian Metro ketika diziarahi di kediaman mereka di Taman Murni Jaya, Layang-Layang di Kluang hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

11 Ogos bukan tarikh nikah arwah 'Inspektor Nizam'

KLUANG: “Tarikh 11 Ogos bukan tarikh arwah bernikah, sebaliknya ia adalah hari ulang tahunnya ke-34," kata Kamisah Nasri, 72, ibu kepada Saiful Nizen Mohd Ayob atau lebih dikenali sebagai Inspektor Nizam dalam lakonan drama bersiri Gerak Khas yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, semalam.

Tarikh 11 Ogos menjadi tanda tanya, terutama dalam kalangan peminat artis itu apabila arwah pernah memuat naik mengenai tarikh itu yang dianggap bermakna dan percaya jodoh menjadi pengakhiran yang ditentukan Allah menyebabkan netizen menganggap arwah sepatutnya berkahwin pada tarikh berkenaan.

Kamisah ketika ditemui di rumahnya di Taman Murni Jaya, Pekan Layang-Layang, dekat sini, berkata arwah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak mempunyai perancangan berkahwin dalam masa terdekat walaupun mengakui arwah memang mempunyai teman wanita.

Katanya, perkara yang tidak dapat dilupakan adalah apabila arwah tidak putus-putus minta maaf dengan ibu dan ayahnya, Mohd Ayob Abdul Samad,73, dalam tempoh 10 hari sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

“Arwah juga ada merancang untuk membawa saya dan suami mengerjakan ibadah umrah selepas menyatakan dia bermimpi berada di hadapan Kaabah bersama beberapa orang yang tidak dikenalinya.

“Namun saya hanya memujuknya untuk pergi ke sana apabila sudah sembuh sepenuhnya dan tidak sangka ia tanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Kamisah berkata, arwah adalah seorang anak yang manja dengan kedua-dua ibu bapanya, selain rapat serta patuh kepada apa sahaja nasihat abang serta kakaknya dalam membuat apa sahaja keputusan.

“Sebenarnya dia mula demam sejak awal Ramadan lalu namun kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Pekan Layang-Layang dan Kuala Lumpur. Bagaimanapun keadaan sama berulang ketika umat Islam menyambut kedatangan Syawal.

“Melihat keadaannya yang semakin lemah, kakaknya menyarankan untuk mendapatkan rawatan di HSA sebelum ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Kamisah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan anaknya serta mereka yang membantu menguruskan jenazah hingga selesai dikebumikan semalam.

Berita Harian X