Selasa, 7 Ogos 2018 | 9:59pm
Pelakon, Emma Maembong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Emma Maembong menangis tonton Pulang

KUALA LUMPUR: Atas saranan teman dan tanda sokongan buat Azrel Ismail, pelakon Emma Maembong tidak menyangka keputusan menonton filem Pulang akhirnya menyaksikan dirinya tewas dengan mainan emosi.

Mengaku menitiskan air mata melihat babak menyentuh hubungan kekeluargaan yang digarap bijak pengarahnya, Kabir Bhatia, Emma menyifatkan Pulang berjaya meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 26, turut memuji barisan pelakon filem berkenaan yang berjaya menghidupkan jalan cerita dengan aksi mantap.

"Saya menitiskan air mata ketika menonton Pulang. Ini kerana tema kekeluargaan yang diangkat berjaya membuatkan hati saya tersentuh.

"Malah, barisan pelakon berbakat memberi aksi cemerlang. Ada beberapa adegan dalam filem ini yang meninggalkan kesan yang mendalam biarpun tidak mempunyai skrip yang panjang," katanya kepada BH Online.

Emma turut memuji sinematografi filem ini yang cantik menjadikan jalan cerita Pulang lebih menarik,

"Tahniah diucapkan kepada pelakon yang berjaya membuatkan hati saya tersentuh.

"Selain hiburan, Pulang juga turut menyelitkan mesej nilai positif yang dekat dengan masyarakat," katanya.

Filem Pulang yang menemui peminat sejak 26 Julai lalu diterajui Remy Ishak dan Puteri Aishah bersama barisan pelakon lain termasuk Azrel dan Erwin Dawson.

Karya ini diilhamkan daripada kisah keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar di mana datuknya, Othman meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki sebagai kelasi kapal dagang.

Kembara Othman membawanya ke serata dunia sehingga tiba di Liverpool di mana ramai rakyat Malaysia yang bekerja sebagai kelasi kapal, memilih untuk terus menetap di United Kingdom (UK).

Pertemuan penuh emosi antara Othman dan anaknya, Omar menjadi antara babak kemuncak dalam filem yang membabitkan kos kira-kira RM6 juta ini.

Berita Harian X