Khamis, 9 Ogos 2018 | 12:44pm
ELDA Susanti.

Hamil empat bulan, Elda terus gelek

KUALA LUMPUR: Dikenali sebagai penyanyi dangdut, Elda Susanti mengaku bukan mudah terutama bagi artis bertudung sepertinya mengelak daripada bergelek ketika menjayakan persembahan.

Elda atau nama penuhnya, Elda Susanti Abdul Majid, 36, bagaimanapun sentiasa bersiap sedia jika ada pihak yang kurang senang melihat persembahannya merakam dan memuat naik aksi geleknya di laman sosial supaya tular.

"Saya akui, sedikit mencabar apabila masih menyanyikan lagu dangdut dengan imej bertudung. Saya tidak salahkan netizen jika mereka tidak berpuas hati. Cuma, saya perlu berhati-hati ketika beraksi supaya tidak menimbulkan kontroversi.

"Biasalah apabila membuat persembahan, kadang-kadang saya boleh 'lupa diri'. Tetapi, saya sentiasa pastikan aksi saya tidak keterlaluan. Setakat gelek manis untuk membuat penonton terhibur, rasanya tidak jadi masalah," katanya.

Ditemui pada sidang media KL Rhythm Nitez : Konsert Voices Of Ladies, Elda bakal beraksi bersama barisan penyanyi seperti Yuka Kharisma, Ella, Nora, Aishah dan Noraniza Idris dalam konsert percuma anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).

Konsert itu akan diadakan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, di sini, pada jam 8.30 malam, lusa.

Elda yang popular dengan lagu, Yang Ku Sayang berkata, dia teruja kerana persembahan itu memberi cabaran buat dirinya yang sedang hamil empat bulan anak keenam.

"Dalam keseronokan dapat bergandingan bersama artis popular, sedikit mencabar kerana saya menyanyi ketika hamil. Banyak yang merisaukan saya terutama segi vokal dan pernafasan, namun saya yakin mampu memberikan persembahan terbaik," katanya.

Berita Harian X