Sabtu, 11 Ogos 2018 | 10:15am
LIZA mahu memberikan perhatian kepada bidang pengacaraan selepas meninggalkan konti radio. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BEKAS penyampai Kool FM, Liza Khairudin. - Foto Instagram Liza

Liza mahu fokus pada pengacaraan

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun bertugas di konti radio, bekas penyampai Kool FM, Liza Khairudin, berkata sudah tiba masa untuknya memberikan perhatian kepada bidang pengacaraan.

Enggan meletakkan titik noktah pada kerjaya di arena penyiaran, justeru Liza berharap bakatnya akan terus dikembangkan dalam bidang seni berbeza.

Menamatkan perkhidmatan bersama stesen terbabit pada 8 Ogos lalu, Liza atau nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin, 32, berterima kasih kepada peminat yang banyak menyokong diri dan kerjayanya.

“Saya berharap kerjaya saya dalam bidang seni takkan terkubur begitu saja kerana saya berhasrat untuk mengorak langkah dalam bidang penyiaran pula. Doakan supaya peluang untuk saya memperluaskan bakat dalam bidang pengacaraan dipermudahkan.

“Sebelum ini pun, saya ada menerima undangan mengacarakan majlis ataupun acara, tetapi tidaklah begitu aktif berbuat demikian.

LIZA Khairudin mengusahakan produk kesihatannya. - Foto Instagram Liza

“Maklum saja, komitmen bersama radio juga bukanlah kecil. Kini, saya berasakan tiba masa untuk diri ini memberikan fokus sepenuhnya terhadap bidang pengacaraan,” kata personaliti yang dicungkil bakatnya menerusi program Projek Metro ini.

Wanita kelahiran Jeli, Kelantan, itu berkongsi perkembangan terbabit di akaun Instagramnya, baru-baru ini, setelah menerima beberapa persoalan berhubung perkara berkenaan.

Berkongsi mengenai perancangan masa hadapan juga, Liza kini aktif mempromosikan produk pengawalan berat badan yang diusahakan sejak April lalu.

“Seperti semua sedia maklum, saya aktif mempromosikan minuman coklat yang saya sendiri amalkan. Selain membantu mengurangkan rasa lapar, produk ini antara usaha pelaburan untuk masa depan.

“Suami (Mohd Khairil Anuar Abdul Ghany) terutamanya memberikan sokongan penuh untuk saya mengusahakan produk minuman ini. Selain itu, dia yang bertugas sebagai jurulatih kecergasan turut mengubah persepsi saya dan menitik beratkan soal kesihatan serta gaya hidup sihat,” katanya.

Berita Harian X