Ahad, 12 Ogos 2018 | 1:48pm
PENYANYI, Noraniza Idris di Angkasapuri. - Foto NSTP
NORANIZA Idris membuat persembahan pada Konsert Voice of Ladies di Panggung Anniversary Taman Tasik Perdana. - Foto Rosdan Wahid

Kak Ani nak buat konsert mega

KUALA LUMPUR: Demi meneruskan perjuangan memartabatkan irama tradisional yang dianggap belum selesai, Noraniza Idris berkongsi perancangan menganjurkan konsert istimewa berskala mega.

Biarpun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri, Noraniza memberitahu, konsert itu dianggap sebahagian daripada baktinya melihat irama tradisional kekal biarpun berdepan banyak kekangan.

“Usaha ke arah mengadakan konsert sedang dijalankan. Mengikut perancangan, acara itu akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang. Ini bermakna, mungkin akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Saya mahu mengembalikan zaman kegemilangan lagu tradisional seperti yang pernah dilihat, suatu waktu dulu.

“Konsepnya sudah tentu menggambarkan kemeriahan sama seperti yang pernah saya tampilkan pada Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Saya sedar bukan mudah... Namun, saya rasa perlu dilaksanakan agar irama tradisional terus gah dan diingati,” katanya kepada BH Online selepas menjayakan konsert Voices Of Ladies di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana, di sini, malam tadi.

Selain Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, konsert dua jam itu turut menampilkan penyanyi handalan seperti Ella, Aishah, Nora Ariffin, Elda Susanti dan Yuka Kharisma.

Tambah penyanyi yang berasal dari Kluang, Johor ini, konsert yang membabitkan kos jutaan ringgit itu dianggap memoir buatnya yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni.

“Apa yang dipaparkan dalam konsert ini adalah pengalaman serta jatuh bangun saya dalam memperjuangkan irama tradisional.

“Saya akan mengundang penyanyi pelapis untuk memeriahkan konsert itu sekali gus menyuntik semangat supaya tidak berhenti menyanjungi irama warisan ini,” katanya yang bakal meraikan ulang tahun kelahiran ke-50 pada 27 Ogos ini.

Memulakan karier nyanyian sejak 1985, Noraniza cukup sinonim dengan lagu berentak irama tradisional dan etnik kreatif sehingga mendapat jolokan Ratu Irama Tradisional Malaysia.

Berita Harian X