Isnin, 13 Ogos 2018 | 1:12pm

Baby Shima tak cukup rehat

KUALA LUMPUR: Tidak cukup rehat dengan jadual padat antara Jakarta-Kuala Lumpur menjadi punca peserta Big Stage, Baby Shima pitam lalu rebah selepas membuat persembahan pada konsert kedua program realiti itu, malam tadi.

Pengurus Shima, Andy memberitahu, doktor yang membuat pemeriksaan mendapati penyanyi berusia 25 tahun itu tidak cukup rehat.

“Badan Shima panas dan tubuhnya kekurangan gula kerana dia tidak mengambil minuman manis.

“Doktor meminta dia berehat buat sementara waktu. Mungkin esok atau lusa baru dia boleh meneruskan aktiviti seperti biasa,” katanya kepada BH Online.

Malam tadi, konsert minggu kedua Big Stage kecoh apabila Shima rebah selepas selesai membuat persembahan yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.

Sebaik menyampaikan lagu Ku Tak Akan Bersuara yang dipopularkan Nike Ardilla, Shima pengsan hingga mengejutkan penonton di auditorium termasuk yang menyaksikan siaran langsung program itu di rumah.

Menyangka ia hanyalah gimik, namun penyanyi itu dilihat terus terbaring hingga suasana menjadi kecoh terutama apabila petugas produksi bergegas mengangkat Shima ke belakang pentas.

Menjelaskan insiden malam tadi, Andy berkata, sebaik diangkat keluar dari pentas, Shima diberi bantuan kecemasan dan dihantar ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam.

“Pada jam 3 pagi tadi, Shima sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Andy mengaku artis yang diuruskannya itu mempunyai jadual kerja yang padat sejak hampir setahun lalu.

“Selain komitmennya untuk pertandingan Big Stage, Shima sering berulang alik ke Indonesia sejak hampir setahun lalu.

“Malah, Shima sudah boleh dianggap menetap di Jakarta kerana sering menerima undangan menyanyi.

“Terbaru, dia sudah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat di Jakarta iaitu Nagaswara untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Andy berkata, selepas meraih populariti dalam program D’Academy Asia yang disertainya, Shima menjadi buruan promoter lalu menyebabkan jadualnya penuh hingga November depan.

“Lusa, Shima sepatutnya pulang ke Jakarta kerana terikat dengan undangan persembahan pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Mengenai komitmen penyanyi itu dalam program Big Stage, Andy berkata:

“Selama terikat dengan Big Stage, Shima akan pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad hingga Rabu. Ini bermakna, dia hanya ada masa untuk menyertai sesi raptai pada petang Ahad, hari berlangsungnya acara.

“Selebihnya, Shima berlatih sendiri atau mendapat bimbingan guru vokal setiap kali pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli masih meneruskan perjuangan dalam Big Stage.

Malam tadi, Fara Hezel diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir daripada program realiti itu yang dikendalikan Sherry Alhadad dan Alif Satar.

PERSEMBAHAN Baby Shima menyampaikan pada Konsert Big Stage minggu pertama di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X