Isnin, 13 Ogos 2018 | 11:44pm

Usah cari jodoh saya - Alvin Chong

KUALA LUMPUR: Berbekalkan wajah tampan dan penguasaan Bahasa Melayu yang baik sebagai pakej, ‘saham’ pelakon Alvin Chong, melonjak akhir-akhir ini.

Jarang ditemui artis bukan Melayu menguasai gelanggang apatah lagi bakat baharu seperti dirinya.

Andai Keith Foo pernah mencipta populariti dengan drama rantaian, Ariana Rose, kini tiba masanya untuk hero baharu ini pula muncul mengumpan pengikut.

Dalam mengatur langkah seni, sudah tentu Alvin cukup menghargai sokongan peminat apatah lagi wanita, malah tidak dapat lari daripada buruan gadis yang mungkin ‘obses’ dengan dirinya.

Hairan soal masa depan termasuk pencarian teman hidupnya diatur peminat, Alvin sebaliknya meluahkan harapannya agar peminat tidak terlalu taasub sehingga mahu menentukan masa depan hidupnya.

Ketika ada yang menyukai kemesraannya bersama gandingan dalam drama bersiri, Awak Suka Saya Tak (ASST), Alvin mengakui ada pihak mencemuh Emma Maembong gara-gara hubungan terjalin.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang datang daripada pelbagai bangsa dan usia. Sokongan yang diberi tiada tolak bandingnya.

“Cuma saya meminta kepada mereka yang seperti mahu menentukan dengan siapa saya berkawan, agar menghentikan perkara itu.

“Ada pihak terlalu taasub hingga tidak dapat membezakan soal peribadi dan kerjaya. Apatah lagi, saya dan Emma tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai keakraban kami,” katanya mengakui semakin kurang bergambar bersama artis itu bagi mengelak timbul perkara negatif dalam kalangan netizen.

Alvin berkata, dia tidak mahu hubungannya dengan teman artis menjadi renggang hanya disebabkan persahabatan tidak direstui segelintir pihak, sebaliknya meminta sokongan terus diberikan kepadanya dan rakan artis lain.

Emma dan Alvin mula rapat sejak digandingkan menerusi drama Awak Suka Saya Tak yang disiarkan tahun lalu.

Idam gadis pandai memasak

ALVIN Chong tertarik kepada gadis yang menghormati ibu bapa dan pandai di dapur. - Foto Munira Abdul Ghani

Berkongsi mengenai ciri-ciri wanita idaman, anak jati Pulau Pinang itu tertarik kepada gadis yang menghormati ibu bapa dan pandai di dapur.

“Ramai sudah maklum dengan ciri-ciri wanita yang menarik perhatian saya. Saya mudah terpikat dengan gadis yang pandai memasak kerana berasal dari negeri yang popular dengan pelbagai jenis makanan.

“Selain bijak ‘menjaga’ perut saya, wanita idaman harus mempunyai sikap menghormati orang tua. Ini suatu aspek yang penting buat saya.

“Bagi saya, sikap mana-mana individu terhadap orang tua menggambarkan keperibadian mereka,” katanya.

Berusaha memberi yang terbaik, Alvin yang popular melalui drama Suri Hati Mr Pilot berharap percubaan pertama sebagai pengacara program ‘I Can See Your Voice Malaysia’ menjadi landasan untuknya membuktikan keupayaan.

Perlu masa beranikan diri

PENGACARA program ‘I Can See Your Voice Malaysia’, Alvin Chong. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Sebelum ini, akui Alvin dia pernah menerima tawaran mengacarakan majlis korporat, namun ditolak kerana memerlukan masa untuk mempelajari teknik mengendalikan acara.

“Ketika itu, saya perlukan sedikit masa sebelum berani menerima tawaran mengendalikan program berorientasikan ‘live (siaran langsung).

“Program ‘I Can See Your Voice’ sedikit berbeza kerana ia dirakam. Daripada situ, saya berpeluang belajar dengan mereka yang lebih senior selain teman gandingan, Syuk Sahar,” katanya.

Tambah Alvin, dia sedar mungkin ada pihak menuduh dirinya tamak mencuba pelbagai bidang seni.

“Sebenarnya, rezeki saya dalam bidang seni bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi, saya ambil peluang untuk mencabar kebolehan diri,” katanya.

Program ‘I Can See Your Voice’ terbitan ntv7 menampilkan enam bakat misteri yang perlu diteka sama ada mereka penyanyi sebenar atau menyamar.

PELAKON, Alvin Chong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO:

Alvin Chong

  • Lahir daripada program realiti nyanyian Astro Star Quest pada 2012
  • Mula tampil dalam drama rantaian Suri Hati Mr Pilot membawa watak juruterbang bernama Johan
  • Melangkah ke layar lebar menerusi filem 3 Brothers ditayangkan pada 2014 dengan memegang watak sebagai Ah Por
Berita Harian X