Selasa, 14 Ogos 2018 | 9:03am
PELAKON, Risteena Munim. - Foto Halim Salleh
RISTEENA Munim. - Foto Luqman Hakim Zubir

Risteena tak mungkin kahwin 'sorok-sorok'

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira lima tahun berkecimpung dalam arena hiburan, nama Nur Risteena Munim Zainul Ilyas belum benar-benar meledak seperti teman seperjuangan yang lain.

Entah di mana silapnya, pelakon berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang ini tidak berupaya untuk berada pada kedudukan atas graf populariti walaupun sudah lapan filem dibintanginya.

Pelakon yang muncul dalam filem Blok 404, baru-baru ini, bukan tidak memiliki bakat, malah dia antara artis yang dilihat mempunyai pakej menarik. Cuma, nasib belum menyebelahi diri.

Dilihat berada pada takuk lama, namanya juga bagai tenggelam timbul. Malah, sering kali Risteena dibandingkan dengan adiknya sendiri, Ruhainies, yang dilihat lebih ke depan.

Akur dengan hakikat berkenaan, Risteena yang turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini mahu bersikap realistik dengan suratan tertulis. Dia juga enggan menjadikan semua itu sebagai tekanan yang hanya menyesakkan emosi.

Sekalipun namanya barangkali dianggap kurang dikenali, wanita ini tetap percaya dengan rezeki kurniaan Yang Maha Kuasa dan ia bakal tiba juga apabila sudah tiba masanya.

“Saya memang seorang yang percayakan konsep rezeki Ilahi. Ada sesetengah orang yang menyaksikan rezekinya cepat datang. Ada pula yang sentiasa saja ada rezekinya walaupun dia biasa-biasa saja.

“Saya tahu, populariti itu penting. Namun, saya tidak terdesak untuk mencipta pelbagai sensasi atau kontroversi hanya untuk menaikkan nama sendiri. Saya tidak percayakan cara sebegitu kerana saya tetap utamakan bakat dalam seni. Populariti pula jatuh ke tangga nombor dua.

“Apabila saya memasuki dunia seni, saya tidak melihat situasi nama kurang dikenali atau hebat seperti pelakon lain sebagai isu besar. Apa yang penting, tawaran kerja sentiasa ada dan ia pula memadai. Saya hanya mampu menjanjikan bakat yang ada dalam diri,” katanya.

Tambah bintang Qhaliq dan Hantu Wangan ini, dia berasakan belum tiba masanya untuk meledak dan meraih kemasyhuran berikutan tidak mendapat naskhah yang benar-benar mencabar.

“Mungkin saya belum mendapat naskhah berat yang betul-betul mencabar diri. Watak saya dalam filem Blok 404 umpamanya sangat bagus. Namun, mungkin ada yang tidak menyedari perkara terbabit.

“Harapan saya, satu hari nanti akan ada naskhah yang mampu menguji kemampuan sebenar diri ini, sekali gus menyerlahkan potensi saya di bidang seni,” katanya.

Ditanya perasaannya apabila kerap kali juga dibandingkan dengan Ruhainies, pelakon yang akan genap berusia 29 tahun pada November depan ini tidak berasakan perkara itu sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Risteena berkata, Tuhan sudah menentukan rezeki masing-masing, begitu juga dengan adik-beradiknya sendiri.

“Masing-masing sudah ditentukan rezeki mereka. Jadi, soal iri hati, mahu berdengki atau cemburu tidak pernah timbul. Malah, sebagai kakak saya gembira dengan apa yang dicapai Ruhainies.

“Saya harus bersikap positif dalam hal ini sekalipun rezeki saya mungkin ditentukan setakat itu saja. Saya cuba melihatnya dari sudut yang lebih baik. Bersama rezeki dikecapi inilah saya mampu membeli aset seperti kereta dan rumah, demi masa depan.

Menyentuh sisi peribadi, Risteena mengaku persoalan mengenai jodoh memang tidak dapat dielakkan. Apatah lagi pada usia sekarang, dirinya memang sudah dilihat layak untuk menaiki pelamin.

“Saya memang tidak boleh lari daripada pertanyaan mengenai bila hendak mendirikan rumah tangga. Kalau balik kampung pun, soalan sama juga akan diajukan.

“Apa pun, agak mustahil jika saya kononnya tidak berkawan dengan sesiapa pada usia sekarang. Memang saya ada berkawan

dan mengenali hati budi. Cuma, belum ada yang benar-benar serius dan bakal dijadikan suami.

“Kalau boleh, saya sendiri enggan menjaja kisah kononnya sudah ada kekasih atau mahu kahwin, tetapi akhirnya tidak jadi. Nanti ada pula yang kata saya berangan sendiri.

“Saya juga tidak mahu mencanang mengenai sesuatu perkara yang belum pasti hujung pangkalnya. Dalam masa sama, saya bukanlah berniat hendak menyorokkan sesuatu. Pendek kata, kalau ia sudah pasti, barulah saya teruja hendak berkongsi cerita.

“Tidak mungkin saya berkahwin secara sorok-sorok. Bukanlah perkahwinan itu sesuatu yang elok dikongsikan?” katanya.

Berita Harian X