Rabu, 15 Ogos 2018 | 1:53pm
PENYANYI, Elizabeth Tan, kini muncul bersama single Police Entry - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Zul Ariffin. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Hasrat Lizzy tak kesampaian

KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi, Elizabeth Tan, untuk menampilkan aktor terkenal, Zul Ariffin, dalam video muzik Police Entry tidak kesampaian.

Berikutan jadual kerja yang tidak menyebelahi mereka, akhirnya tempat Zul digantikan dengan bakat baharu, Harris Annuar, yang juga anak usahawan terkenal, Zaiton Hassan.

“Sebelum ini, saya dan Zul berlakon bersama dalam filem terbaru arahan Syafiq Yusof, Misteri Delaila. Malah, Zul sendiri ada menyuarakan keinginan untuk kembali bekerjasama, dengan meminta saya mengundangnya menjadi pelakon dalam video muzik Police Entry.

“Memang Zul sepatutnya menjadi model utama dalam video muzik lagu terbaru saya itu. Tetapi, dia pula tidak lapang ketika penggambaran diadakan. Berikutan kami mengejar masa, akhirnya rezeki menjadi milik Harris,” katanya.

Menggalas tugas sebagai pengarah video muzik buat kali pertama, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy mengaku, masih banyak kelemahan perlu diperbaikinya.

“Secara peribadi, saya puas hati dengan hasilnya. Begitupun, masih ada kelemahan perlu diperbaiki. Ia tampak agak ringkas.

“Saya juga memang kekurangan rakaman. Jadi, selepas ini saya kena pastikan mempunyai lebih banyak ‘shot’ untuk mengisi apa yang kurang.

“Saya berjanji, kalau ada lagi peluang untuk mengarah, saya akan melakukannya dengan lebih bagus,” katanya.

Penggambaran video muzik berkenaan dilakukan selama dua hari, masing-masing pada 6 dan 30 Jun lalu, di sebuah gudang di Petaling Jaya.

“Dalam imaginasi saya, video muzik ini berkonsep gabungan tarian filem Burlusque dan K-pop. Saya mahu lenggok tarian ditampilkan lebih ghairah. Atas alasan itu saya mencampurkan kedua-dua gaya tarian terbabit,” katanya sambil mengakui kerja penerbitannya dilakukan agak tergesa-gesa.

Police Entry ialah single terkini daripada penyanyi berusia 24 tahun ini. Lagu terbabit adalah hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Mula dikongsi di laman YouTube pada 6 Julai lalu, sehingga kini klip berkenaan meraih lebih 3.5 juta tontonan.

Berita Harian X