Khamis, 16 Ogos 2018 | 2:49pm
Pengarah Filem dan Drama, Erma Fatimah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

'Tak seronoklah kalau tak ramai'

KUALA LUMPUR: Niat di hati hendak menghimpunkan lapan pelakon wanita terbaik dalam satu pementasan teater, namun nampaknya, Erma Fatima terpaksa menunggu lagi.

Memberitahu BH Online, Erma mengaku sukar mendapatkan komitmen semua pelakon apatah lagi jumlah aktres yang disasarkan antara tujuh hingga lapan orang.

“Ada pelakon yang berpotensi diketengahkan namun belum sedia melakukan monolog selam sejam di pentas. Apa yang tinggal hanyalah dua hingga tiga orang.

“Jadi tak seronok, tak meriahlah kerana tujuan saya hendak membawa seramai mungkin pelakon wanita hebat di pentas,” katanya kepada BH Online.

Antara pelakon wanita yang ‘diidamkan’ Erma adalah Fauziah Ahmad Daud, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Lisa Surihani.

Projek itu juga turut membabitkan adik Erma, Datin Seri Umie Aida dan dirinya sendiri.

Ditanya apakah hasrat tertangguh itu mahu diteruskan atau tidak kesampaian, pelakon yang terkenal dengan karakter Mak Cun itu tetap optimis.

“Insya-Allah... Jika tak jadi tahun ini, kita boleh bawa ke tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Erma berkata, dia teruja ‘terbang’ ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyertai Couture Fashion Week New York 2018 buat kali kedua, pada 7 September depan.

Selain jenama Mak Cun milik Erma, pertunjukan fesyen itu turut disertai pereka lain termasuk Nur Fazura (Fazbulous), Rizman Ruzaini, Fizi Woo dan Adamaya.

Berita Harian X