Jumaat, 17 Ogos 2018 | 6:55pm
PELAKON, Neelofa, pada majlis pelancaran model baharu telefon Oppo F9 di VE Hotel & Residences, Kuala Lumpur. - Foto: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
GAYA Neelofa ketika mengacarakan program Meletop beberapa hari lalu. - Foto Instagram Neelofa

Neelofa rimas layan gosip

KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, mengaku rimas dan penat untuk melayan gosip mengaitkannya dengan seorang aktres.

Sukar untuk mengelak daripada terkait dengan cerita panas, Neelofa berkata, dia hanya mampu memekakkan telinga daripada mengambil kisah apa yang diperkatakan.

"Sebagai manusia biasa, semestinya saya berasa rimas dan penat seperti orang lain juga. Saya rimas apabila dikaitkan dengan benda kecil dan tak berasas seperti ini. Banyak lagi perkara lain saya nak fikir.

"Saya sentiasa berharap perkara sebegini akan berakhir. Namun, isu sebegini bukan membabitkan individu dengan individu lain, sebaliknya kumpulan besar dengan satu lagi kumpulan, serta orang lain yang tak terkait pun di dalamnya," kata Neelofa ketika ditemui pada majlis pelancaran model terkini telefon bimbit Oppo F9 di sini.

Pelakon Ti Amor Sweetheart 100 Hari itu sekali lagi dikaitkan dengan pelakon, Nur Fazura, apabila bintang berusia 34 tahun itu memuat naik video di Instagram Story dengan mendakwa, baju dipakai seorang model pada acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), minggu lalu, pernah dipakai olehnya.

Baju rekaan Innai Red itu juga pernah dipakai Neelofa ketika mengacarakan program Meletop, beberapa hari lalu.

Neelofa yang juga duta produk telefon pintar berkenaan berkata, dia tidak tahu menahu pun baju dipakainya sama rekaannya dengan apa yang digayakan Fazura.

"Baju itu bukan dibuat sehelai untuk hanya seorang atau ‘custom-made’, tetapi koleksi ‘ready-to-wear’ (sedia untuk dipakai). Saya tidak tahu apa-apa mengenai kemahuan orang lain dan saya tiada masa untuk memeriksa baju itu dibuat untuk siapa.

"Walaupun ada 10 orang yang memakai baju yang sama, tetapi gaya pemakaian kita berbeza. Sebab itu saya bersedia pakai mana-mana baju rekaan pereka tempatan," katanya.


FAZURA (tengah) bersama teman selebriti ketika hadir memeriahkan pertunjukan fesyen oleh Innai Red di ibu kota. - Foto Instagram Innai Group

Menyedari perbalahan antara peminat di laman sosial juga menyebabkan isu sedemikian menjadi besar, Neelofa bagaimanapun tidak berasakan ia memberi kesan kepada dirinya.

"Pergaduhan antara peminat tidak begitu mengganggu saya, malah tidak memberikan kesan langsung kepada saya. Fokus saya hanya kepada kerjaya dan komitmen sebagai duta produk," katanya.

Berita Harian X