Jumaat, 17 Ogos 2018 | 6:58pm
PENYANYI dan komposer, Ikhwan Fatanna. - Foto: Nurul Shafina Jemenon

Saya, Haqiem tak gaduh - Ikhwan Fatanna

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Ikhwan Fatanna, menafikan wujud sebarang perselisihan faham antara dirinya dengan bintang remaja sensasi, Haqiem Rusli.

Ikhwan, 28, berkata mungkin ada pihak membuat andaian tersendiri apabila namanya tidak dikreditkan sebagai seorang daripada pencipta Jatuh Bangun, nyanyian Haqiem dan Aman RA, pada video muzik rasmi lagu itu gara-gara kesilapan teknikal.

Melodi Jatuh Bangun dihasilkan oleh Haqiem, Omar K dan Ikhwan, manakala liriknya ditulis mereka bertiga serta Aman.

“Saya tidak terasa hati biarpun nama saya tidak keluar (pada video terbabit) kerana kesilapan teknikal. Tiada apa yang perlu diperbesarkan kerana saya masih menerima insentif dan royalti daripada penjualan lagu itu.


BINTANG sensasi, Haqiem Rusli. - Aziah Azmee

“Tidak timbul istilah salah faham dan sebagainya kerana ia langsung tak wujud. Cuma, saya tidak pula berbincang secara bersemuka dengan Haqiem mengenai perkara ini. Biasalah, kadang kala kita juga terlepas pandang,” katanya.

Penyanyi yang giat mempromosikan single terbaru berjudul Jannah itu berkata demikian ditemui pada majlis pelancaran video muzik single ketiga Amir Masdi, Puas, di sini.

Bercerita mengenai lagu nyanyian juara Akademi Fantasia 2016 yang diciptanya bersama Ayden Ali itu, Ikhwan yang serasi dengan konsep muzik ketuhanan berkata, karya berkenaan bercorak merintih dan sesuai untuk suara Amir.

“Lagu ini mempunyai rasa dan sesuai dikaitkan dengan rintihan ataupun jiwang. Jadi, saya berasakan ia kurang sesuai dengan suara saya. Justeru, ia diberikan kepada Amir.

“Puas juga dirasakan sebuah karya yang dekat dengan pendengar. Saya berharap ia dapat diterima oleh penggemar muzik tempatan,” kata Ikhwan yang sebelum ini popular dengan lagu Bismillah.

Berita Harian X