Khamis, 23 Ogos 2018 | 2:44pm
SAZZY semakin ligat menerima tawaran mengacara di Singapura. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kalau berbaloi, tak mungkin saya tolak - Sazzy Falak

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Sazzy Falak menafikan sudah tidak lagi menerima tawaran di negara sendiri hingga terpaksa beralih ke Singapura bagi mengembangkan kerjaya seninya.

Sazzy, 38, yang aktif sebagai pengacara di negara itu berkata, dia masih menerima tawaran terutama lakonan, namun terpaksa menolak jika membabitkan drama bersiri.

“Ada beberapa tawaran yang saya terima hingga segelintir pihak bertanya, apakah saya sudah kembali berlakon? Sebenarnya, saya hanya mengambil tawaran berlakon telefilem kerana tidak membabitkan tempoh penggambaran yang panjang.

“Sudah lama saya tidak berlakon drama bersiri kerana bimbang tidak mampu memberikan komitmen. Tawaran masih ada, tetapi sebahagiannya terpaksa ditolak kerana kekangan masa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem, Gol & Gincu Vol 2, baru-baru ini.

Sazzy berkata, dia baru menyelesaikan penggambaran drama terbitan, Aquilla Emas Sdn Bhd, Mimpi Sumi kerana tertarik dengan tema yang diangkat dalam naskhah itu.

Mengakui semakin selektif dalam mencari naskhah yang dijayakan, Sazzy berkata, tawaran diberikan pelakon dan penerbit, Zizan Nin itu tidak mampu ditolak kerana jalan ceritanya sarat mesej serta berbeza daripada produksi tempatan sedia ada.

“Saya terima tawaran Zizan kerana Mimpi Sumi berkisar mengenai pedofilia dan ia memberi kesedaran kepada penonton. Saya berlakon kerana cinta terhadap seni, bukan semata-mata untuk wang, selain memberi kesedaran dan pengajaran kepada penonton.

“Saya tidak sanggup duduk di set penggambaran sehingga empat bulan kerana ada anak, keluarga dan perniagaan yang perlu diuruskan. Jika menerima tawaran drama daripada produksi antarabangsa, mungkin saya akan terima kerana berbaloi,” katanya.

Bukan bermaksud memperkecil atau memperlekehkan produksi tempatan, Sazzy sebaliknya melihat pengkarya luar mempunyai idea jauh ke depan dan jalan cerita yang mampu membuat penonton memandang bakatnya.

“Kalau mahukan sesuatu, biarlah berbaloi dengan masa yang dikorbankan. Saya kagum dengan produksi drama yang dihasilkan Netflix. Mana mungkin saya tolak kalau tawaran itu datang kerana drama yang diterbitkan cukup bermutu.

“Kalau drama seperti itu, saya sanggup kosongkan jadual saya, sekalipun terpaksa berada di lokasi penggambaran berbulan-bulan,” katanya.

Berita Harian X