Sabtu, 25 Ogos 2018 | 10:09am
PENYANYI dan komposer, Syamel, kini muncul bersama single terbaru, Kau Pun Sama. - Foto Mahzir Mat Isa

Bukan gimik lagu baharu - Syamel

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, tidak menganggap tindakannya memuat naik status berbaur kesedihan di laman sosial Instagram dengan menyertakan sekali nama Ernie Zakri sebagai gimik sempena kehadiran lagu baharunya.

Sambil mempertahankan tindakannya, pemilik nama lengkap Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini berkata, jika benar mahu berbuat demikian, lebih baik dia menjual kisah peribadi ataupun mereka cerita sensasi yang mungkin mampu menarik lebih banyak perhatian.

“Status ataupun foto yang dimuat naik di akaun Instagram itu hanya sebahagian daripada lirik lagu baharu saya, Kau Pun Sama. Tujuan saya menyertakan sekali nama Ernie dalam perkongsian itu kerana dia juga terbabit dalam pembikinan lagu berkenaan.

“Malah, dalam perkongsian itu juga, saya langsung tidak memaparkan cerita kononnya kami bercinta ataupun berselisih faham.

“Semua yang diperdebatkan netizen itu hanyalah tanggapan dan spekulasi mereka semata-mata,” katanya kepada BH Online.


AKSI romantik Syamel dan Ernie Zakri ketika mempersembahkan lagu Aku Cinta pada Anugerah Juara Lagu ke-32 di Axiata Arena. - Foto Aysraf Hamzah

Kata naib juara Akademi Fantasia 2015 ini, tindakan berkenaan juga mendapat persetujuan daripada penyanyi yang semakin popular dengan lagu Misteri itu.

“Keizinan Ernie amat diperlukan agar tiada perkara berbangkit yang berlaku pada kemudian hari,” katanya yang sebelum ini muncul secara duet dengan penyanyi wanita terbabit menerusi lagu Aku Cinta.

Sementara itu, mengulas lirik lagu berentak rancak berkenaan, yang mengetengahkan kisah pasangan sama-sama curang, penyanyi berusia 24 tahun ini berkata, ia sebuah realiti yang kerap terjadi ketika ini.

“Lagu ini mengisahkan pasangan yang sama-sama curang. Walaupun sudah berpunya, masing-masing tetap bermain kayu tiga. Jadi, tidak perlulah hendak menuduh pasangan tidak setia, walhal pada masa sama dia juga mempunyai kekasih gelap.

“Lirik yang saya tulis sendiri ini mungkin agak sensitif bagi sesetengah pihak, tetapi bak kata pepatah, siapa makan cili dialah yang rasa pedas,” kata Syamel yang mengambil masa lima hari untuk menyiapkan lagu berkenaan.

Kau Pun Sama hasil ciptaan Syamel dan Kidd Santhe kini boleh didapati di semua platform digital.

Berita Harian X