Ahad, 26 Ogos 2018 | 5:07pm
AMELIA mengaku sudah bercerai, tetapi enggan berkongsi tarikh perpisahannya. - Foto Surianie Mohd Hanif
AMELIA mengaku sudah bercerai, tetapi enggan berkongsi tarikh perpisahannya. - Foto Surianie Mohd Hanif

Memang kami sudah berpisah - Amelia Henderson

KUALA LUMPUR: Mengakui agak sukar untuk membuka mulut mengenai perceraiannya, Amelia Henderson akhirnya sedia berterus terang kerana tidak mahu khalayak terus mempersoalkan kehidupan peribadinya.

Pelakon kacukan India-Scotland itu berkata, dia dan bekas suaminya, Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar berpisah tahun ini, namun enggan berkongsi tarikh sebenar mereka membawa haluan masing-masing.

"Sebelum ini, saya sengaja menggantung persoalan ini hingga ramai berteka-teki mengenai status rumah tangga saya. Bukan apa, kadang kala apabila kita hanya berkongsi sedikit, persepsi orang ramai jauh tersasar. Saya tidak izinkan mereka berkata sesuatu yang tidak benar.

“Namun, tidak adil pula rasanya apabila bekas suami dikaitkan dalam kehidupan saya sebagai figura awam. Saya tidak mahu bekas suami menjadi mangsa cemuhan,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama, Jangan Benci Cintaku itu berkata, sudah tiba masa untuk dia membuka mulut daripada membiarkan netizen terus 'membawang' cerita yang tidak benar.

"Perkahwinan kami terlerai di pertengahan jalan adalah ketentuan Tuhan. Mungkin ada yang menganggap saya bercerai kerana berkahwin pada usia muda dan tidak matang, tetapi orang dewasa juga ada yang berpisah. Semua itu takdir yang tercatat dalam perjalanan hidup saya,” katanya.

Amelia mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 selepas setahun setengah menjalin hubungan cinta. Perkahwinan yang terlerai itu bagaimanapun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya selepas kembali solo, Amelia berkata, dia tidak tertekan menerima takdir yang tertulis, sebaliknya bersyukur apabila diberikan Tuhan kehidupan dan keluarga serta kerjaya yang baik.

“Mungkin jodoh saya tidak kekal, tetapi Tuhan menggantikannya dengan rezeki lakonan yang melimpah-ruah," katanya.

Pelakon yang turut dikenali menerusi drama, Keluarga Adam, Kasut Tumit Tinggi dan Keluarga Pontimau ini berkata, pada awal perceraian, dia agak sukar meluahkannya kerana banyak hati yang perlu dijaga.

"Saya dan bekas suami membuat keputusan untuk berpisah bersama-sama. Ia dilakukan dengan tenang, biarpun keputusan itu bukan mudah. Saya harus pandai mengawal perasaan untuk menjaga hati keluarga kedua-dua pihak," katanya.

Amelia berkata, tumpuannya kini beralih semula kepada kerjaya lakonan yang ditinggalkan sejak 10 tahun lalu. Dia yang kembali sejak awal tahun ini mengakui, terkejut dengan penerimaan pengarah dan produser.

"Saya kembali berlakon bukan kerana sudah bercerai, tetapi sudah tiba masanya saya meneruskan perancangan yang tertangguh. Apa yang terjadi dalam kehidupan peribadi, tiada kena mengena dengan kerjaya. Syukur, saya diterima semula.

"Buat masa ini, saya belum terfikir untuk mencari pengganti. Bayangkan, saya hanya sempat berehat sehari atau dua sebelum memasuki set penggambaran lain. Jadual saya padat hingga akhir tahun.

“Kerjaya lakonan saya kembali bernyawa selepas diuruskan syarikat pengurusan, Uprising Entertainment," katanya yang pernah membintangi lebih 140 iklan komersil sejak kanak-kanak.

Berita Harian X