Rabu, 29 Ogos 2018 | 12:30pm
PELAKON, Almy Nadia, ketika menemani suami, Fizz Fairuz, menerima Pingat Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, Januari lalu. - Foto Muhammad Aysraf Sawal
FIZZ Fairuz dan Almy Nadia. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Dan

Almy hilang sabar dipanggil 'gemuk'

PETALING JAYA: Pelakon, Datin Almy Nadia, 32, mengaku terpaksa meluahkan kemarahan di media sosial selepas peminat memanggilnya ‘gemuk dan hodoh’.

Kata Almy yang juga isteri kepada pelakon, Datuk Fizz Fairuz, 38, ramai peminat tidak mengetahui dirinya kini hamil anak ketiga. Kandungannya itu juga sudah pun memasuki usia enam bulan.

"Ketika menguruskan sebuah acara di Kuantan, ada lelaki yang menegur saya. Ketika itu, saya berada dalam kereta dan dia terus cakap, ‘eh gemuknya, hodoh’. Kerana bengang, muka saya memang terus berubah.

“Sedangkan sebelum itu, dia sudah pun menegur saya dan Fizz ketika terserempak di hotel sewaktu bersarapan. Dia berkata, saya masih gemuk selepas lama tidak kelihatan. Apabila Fizz mendengar tegurannya itu, dia terus memaklumkan saya sedang mengandung.

"Tetapi, apabila terserempak lagi pada sebelah malam, dia masih bercakap sedemikian. Teruslah saya naikkan status di Instagram," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munafik 2, di sini.

Kata Almy, mungkin ada orang berpendapat mudah bagi seseorang wanita untuk kembali langsing selepas melahirkan beberapa anak.

Berasakan sesetengah anggota masyarakat hari ini kekurangan adab ketika meluahkan pandangan, ia membuatkan Almy mengambil pendekatan untuk tidak kerap berkongsi gambarnya di media sosial.

Begitupun, katanya, segelintir netizen tetap melayangkan komen negatif sehinggakan anaknya turut menjadi mangsa.

"Artis pun manusia dan ada perasaan malu. Kenapa orang zaman sekarang tak ada adab? Mereka seolah-olah tiada perasaan. Contohnya, ketika saya buat ‘live’ di Instagram, belum pun sempat memberikan salam, orang sudah ‘bantai’, memaki saya," katanya.

Ditanya mengenai kelibatnya yang jarang dilihat di kaca televisyen sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga ada yang beranggapan dirinya sudah pun meninggalkan dunia seni, Almy menjelaskan dia sibuk menguruskan anak dan keluarga.

"Sudah empat tahun saya berehat daripada lakonan kerana sibuk menguruskan anak. Saya pula tidak mempunyai pengasuh mahupun pembantu rumah. Bukan apa, agak sukar untuk saya mempercayai orang lain.

"Begitupun, memang ada tawaran berlakon yang datang. Ketika Fizz berlakon drama, Jodoh Jodoh Anisa, saya turut ditawarkan watak undangan, namun saya tolak sebab belum bersedia. Saya cuma akan kembali berlakon selepas diri ini betul-betul kurus dan anak pun sudah besar," katanya.

Berita Harian X