Khamis, 30 Ogos 2018 | 1:04pm
BINTANG utama Paskal, Hairul Azreen (kanan) dan Ammar Alfian pada majlis promosi filem berkenaan di The Gardens, Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Nyaris bocor gegendang telinga lakon babak lasak

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Paskal, Ammar Alfian, 31, menegaskan tidak serik melakukan aksi lasak walaupun mengalami kecederaan pada wajah dan nyaris bocor gegendang telinga ketika menjayakan babak terhumban ke laut.

Katanya, akibat kesilapan sendiri, sebelah mukanya terhentak pada pistol sebaik saja jatuh di permukaan air mengakibatkan bahagian terbabit membengkak.

"Saya merayu kepada pengarah supaya membenarkan saya melakukan aksi lasak sendiri sebagai hadiah hari jadi yang jatuh pada minggu berkenaan.

"Ikutkan, semua langkah keselamatan sudah diambil, cuma mungkin posisi ketika jatuh selain impak ketinggian yang menyamai bangunan tujuh tingkat membuatkan kecederaan dialami agak teruk.

"Saya pengsan sekejap sebaik saja dikeluarkan daripada air. Begitupun keesokannya saya tetap meneruskan penggambaran. Saya tidak serik, malah bersyukur kerana dapat merasai pengalaman sebagai anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya ketika ditemui pada promosi filem berkenaan.

ANTARA pelakon filem Paskal (dari kiri) Theeban G, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Jasmine Suraya Chin, Hairul Azreen, Ammar Alfian dan Taufiq Hanafi pada majlis pelancaran filem berkenaan di The Gardens, Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

PANGLIMA TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (tiga dari kiri) bersama Pengarah filem, Adrian Teh (empat dari kanan) pada majlis pelancaran filem Paskal di The Gardens, Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Selain Ammar, filem berbajet RM10 juta itu turut membariskan Hairul Azreen, Datuk Eizlan Yusof, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Filem bercorak aksi yang bakal ditayangkan pada 27 September depan itu menjalani penggambaran di Lumut, Perak; Semporna, Sabah; dan Turki.

Akui pelakon itu lagi, semua pelakon perlu menjalani latihan ketenteraan sebelum masuk ke set yang mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disempurnakan.

"Sebenarnya latihan yang kami lalui, termasuk melakukan aktiviti dalam hutan dan air, adalah sedikit berbanding rutin perlu ditempuhi anggota Paskal sebenar. Itu pun sudah cukup mencabar sekali gus menambahkan rasa kagum kami dengan kehebatan mereka.

"Pembabitan dalam filem ini juga semakin menyuburkan perasaan hormat saya pada semua anggota pasukan seragam. Saya juga amat menghargai keamanan negara hasil kesungguhan dan jasa pasukan keselamatan kita," katanya.

Berita Harian X