X
Sabtu, 1 September 2018 | 11:52am
PUTERI Sarah dan Syamsul bakal menimang cahaya mata kedua. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PUTERI Sarah dan Syamsul bakal menimang cahaya mata kedua. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Puteri Sarah cekal diuji hamil anak kedua

KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah yang sedang hamil tiga bulan anak kedua berdepan dugaan apabila sering mengalami sakit kepala yang teruk hingga membantutkan urusan hariannya.

Isteri kepada pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof itu berkata, alahan yang dialaminya kali ini cukup berbeza, namun dia bertahan mengharunginya. Dia juga berharap masalah itu akan berakhir apabila kandungannya memasuki trimester kedua.

“Apabila sakit itu menyerang, saya rasa seperti mahu menghentak kepala ke dinding kerana tidak tahan. Kesakitan itu bukan hanya sesekali datang, ada ketika dirasai sepanjang hari.

“Mahu mengambil ubat, bimbang pula akan membahayakan kandungan. Saya berharap alahan ini akan berakhir apabila kandungan memasuki trimester kedua.

“Banyak kerja yang tergendala, apatah lagi saya kini memberikan sepenuh tumpuan kepada anak dan perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem, Lu Pikirlah Sendiri itu berkata, selain mengalami sakit kepala yang teruk, dia juga tidak berselera menjamah hidangan yang sudah dimasak lama.

Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 32, dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014. Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Syaikhul Islam pada April tahun lalu.

Mengakui masih merindui bidang lakonan, Sarah menjelaskan, dia hanya bersedia untuk kembali beraksi di bawah produksi terbitan suami dan bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam.

“Bukan apa, jadual harian Syamsul terlalu padat. Jika saya juga sibuk, bila pula kami dapat berjumpa? Jadi, lebih baik saya hanya berlakon di bawah arahan suami dan bapa mentua sahaja,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X