Selasa, 4 September 2018 | 1:31pm
SAM dan Syatilla menunjukkan foto imbasan kandungan anak kedua mereka. - Foto Instagram Syatilla Melvin

Kehamilan isteri hadiah hari lahir Sam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam, menyifatkan berita kehamilan semula Syatilla Melvin selepas keguguran lebih sebulan lalu sebagai hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36, hari ini.

Sam atau nama penuhnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata, dia mendapat tahu mengenai kehamilan isterinya selepas Syatilla membuat kejutan dengan menunjukkan alat ujian kehamilan, semalam.

"Kami pun tidak menyangka bakal diberikan rezeki awal untuk menimang anak kedua. Mungkin ada hikmah di sebalik anugerah ini.

"Semalam, pada awal pagi, Syatilla menunjukkan alat ujian kehamilan yang menunjukkan tanda positif. Kemudian, dia keluarkan pula imej imbasan kandungannya. Sudah tentu saya teruja," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Syatilla, 27, menerusi Instagram miliknya pula berkongsi berita gembira itu dengan meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hamil sekali lagi.

SAM dan isteri bersama anak sulung mereka, Syeriv Samheizy. - Foto Instagram Syatilla Melvin

Pelakon itu turut meminta orang ramai mendoakan agar proses kehamilannya berjalan dengan baik.

Dalam pada itu, Sam menyifatkan kehamilan Syatilla sebagai hikmah kerana situasi sama pernah dialami isterinya sebelum dia mengandungkan anak sulung mereka, Syeriv Samheizy, yang kini berusia setahun empat bulan.

"Sebelum Syatilla mengandungkan Syeriv, situasi sama berlaku apabila dia turut mengalami keguguran. Apapun, saya berharap isteri tidak terlalu aktif dan lebih berhati-hati agar kandungannya selamat," tuturnya.

Pasangan selebriti terbabit mendirikan rumah tangga pada 9 Februari 2016.

Berita Harian X