Rabu, 5 September 2018 | 9:32am
SWEET Qismina korban minat dalam bidang seni demi pelajaran. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SWEET Qismina korban minat dalam bidang seni demi pelajaran. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sweet Qismina tak ralat populariti suram

KUALA LUMPUR: Pelakon kecil molek, Sweet Qismina, 21, tidak ralat berkorban melupakan seketika kerjaya seni ketika namanya mula memuncak untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Gadis yang popular menerusi drama, Hikayat Putera Shazlan itu berkata, dia tidak mahu mensia-siakan usia mudanya, justeru nekad menyambung pengajian selepas dinobatkan sebagai Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, tahun lalu.

Akur namanya semakin suram selepas hampir dua tahun menuntut dalam jurusan Komunikasi Massa di sebuah institusi pengajian swasta, Sweet berkata, dia tidak kesal melakukan pengorbanan terbesar itu demi masa depan.

“Saya tahu bukan mudah untuk meraih populariti hingga meraih kemenangan pada ABPBH lalu, tetapi saya tiada pilihan. Saya bulatkan tekad mahu menyambung pengajian selepas tamat Diploma Asas Seni, tahun lalu.

"Rugi rasanya mensia-siakan peluang yang terbentang depan mata. Saya banyak menolak tawaran watak utama selepas kemenangan, tetapi saya tidak terkilan mendahulukan pelajaran,” katanya.

Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi berkata, pengajiannya masih berbaki dua tahun dan dia bersyukur kerana diberikan biasiswa untuk menampung keperluan sepanjang bergelar penuntut.

"Berlakon bila-bila masa boleh diteruskan. Jika sudah tertulis rezeki, saya akan kembali berlakon nanti.

Seandainya nanti peluang saya kembali tipis, saya mempunyai pilihan lain yang bersesuaian dengan kelulusan," katanya.

Sweet yang menjadi pelakon sejak usia sembilan tahun berkata, dia tidak terlalu mengejar populariti kerana bimbang tidak mampu mengawal diri.

“Saya lebih selesa perjalanan kerjaya saya bergerak perlahan, tetapi berkekalan. Lihat saja kemenangan saya pada APBH3.0 lalu, ia hanya datang selepas hampir 10 tahun menjadi pelakon.

"Alhamdulillah, saya masih dapat mengelak daripada terpalit kontroversi dan cerita panas. Itu yang saya inginkan, populariti saya dinilai menerusi bakat dan hasil kerja, bukan cerita merepek yang membuat peminat muak," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X