Rabu, 5 September 2018 | 2:09pm
TYA dan suami simpan keinginan timang anak perempuan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tya amal petua tradisional untuk dapat anak perempuan

KUALA LUMPUR: Menantu penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga pelakon kelahiran Palembang, Indonesia, Tya Arifin mengakui, dia mengamalkan petua tradisional sebagai ikhtiar mendapatkan cahaya mata perempuan.

Tya berkata, petua itu mula diamalkan selepas mendapat saranan dan nasihat daripada orang tua, malah turut meminta suaminya, Asyraf Khalid melakukan perkara yang sama.

“Saya memang menyimpan hasrat menimang anak perempuan, tetapi belum ada rezeki. Dalam soal zuriat, saya dan suami tidak pernah merancang, malah menerima dengan tangan terbuka jika saya ditakdirkan kembali hamil.

“Begitu juga apabila menyentuh soal jantina, sama ada lelaki atau perempuan, kami tidak menolak. Namun, selepas menimang zuriat lelaki, sudah tentu kami berharap dikurniakan anak perempuan.

“Saya ada meminta suami mengamalkan pemakanan tertentu yang dikatakan boleh membantu mendapatkan anak perempuan. Apa yang penting, usaha dan ikhtiar, selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menentukannya,” katanya kepada BH Online.

Pelakon berusia 23 tahun yang mula dikenali menerusi filem, Gending Sriwijaya itu berkata, kehidupannya dan Asyraf semakin bahagia sejak kelahiran cahaya mata lelaki, Arif Jiwa pada 31 Mac 2017.

Berkongsi mengenai jamu Mutyara Beauty yang diasaskan mereka, Tya berkata, ia dihasilkan khusus buat wanita masa kini yang sibuk dengan kerjaya, namun tetap mementingkan penampilan supaya kekal kekal bertenaga dan cantik.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang menyukai jamu. Kalau dulu, saya melihat proses penghasilan jamu tradisional agak rumit, namun seiring peredaran masa, sesiapa sahaja boleh menikmatinya kerana ia sudah tersedia.

“Harganya juga mampu dimiliki, selain mengandungi ramuan istimewa. Tidak semua wanita gemar memakan jamu kerana rasanya pahit, tetapi produk kami sedikit berbeza. Campuran buah kranberi menerbitkan sedikit rasa manis pada jamu ini,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X