Jumaat, 7 September 2018 | 5:50pm
PELAKON, Idris Khan. - Foto Muhammad Sulaiman

Ada lelaki tawar diri jadi 'sugar daddy' - Idris Khan

PETALING JAYA: Pelakon, Idris Khan, mendedahkan masih ada pihak yang cuba menggoda walaupun dirinya sudah mempunyai teman wanita dan merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Lebih mengejutkan, kata Idris, bukan sekadar peminat wanita yang berbuat demikian, sebaliknya ada juga golongan lelaki cuba memikatnya dengan menawarkan kemewahan.

“Memang ada orang menghantar mesej kepada saya menerusi media sosial, sambil menawarkan diri untuk menjadi ‘sugar mummy’ dan ‘sugar daddy’.

“Biasanya, jika menerima mesej sedemikian, saya gelak sahaja. Biasalah, kita tidak boleh nak halang atau elak perkara sebegini.


IDRIS Khan dan kekasihnya, Sanaa Jeljalane. - Foto Salhani Ibrahim

“Asalkan kita sedar apa yang kita mahukan dan tahu bagaimana untuk mengendalikan situasi begini, ia sudah memadai,” kata pelakon berusia 29 tahun ini kepada BH Online.

Mengenai tanggapan sesetengah pihak kononnya ia dugaan bagi mereka yang belum berumah tangga dan Idris sendiri seharusnya tidak menangguhkan hasrat membina masjid, pelakon itu tidak menafikan kemungkinan terbabit.

“Ramai juga yang berkata sedemikian. Mungkin kerana saya masih bujang, jadi ramai yang cuba mengganggu. Begitupun, ia tidak semestinya begitu kerana ada juga antara kita yang sudah berkahwin, namun masih melalui pengalaman seperti itu,” katanya.

Menyentuh soal perkahwinan, Idris memaklumkan dirinya dan Sanaa Jeljalane, 27, belum mempunyai tarikh sesuai untuk diikat sebagai suami isteri.

“Mungkin ada yang menyangka, kami menangguhkan perkahwinan kerana ada masalah yang timbul. Hakikatnya, hubungan saya dengan dirinya baik-baik sahaja.

“Kesibukan dengan kerjaya membuatkan kami belum berkesempatan mencari tarikh sesuai untuk berkahwin,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lakonannya, Salon, di Sunway Damansara, di sini.

Idris atau nama sebenarnya Idris Khan Abdul Ghaffar Khan pernah memaklumkan bakal menikahi gadis Maghribi itu, Januari lalu, namun ditangguhkan ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.

Berita Harian X