Sabtu, 8 September 2018 | 9:46am
PELAKON, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, ketika menghadiri sebuah acara di ibu kota pada April lalu. - Foto Saifullizan Tamadi

Selepas pembedahan, Elizad ingin segera timang anak

KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, berharap dirinya akan dapat menimang cahaya mata selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst sebesar lapan sentimeter, kelmarin.

Aktres yang mesra disapa dengan panggilan Ejad itu berkata, doktor turut menyarankan dirinya segera hamil berikutan keadaan kesihatannya yang baik.

"Wanita mana yang tidak mengimpikan cahaya mata? Sudah sekian lama saya menantikan tibanya saat itu. Selepas diri kembali pulih, saya memang berharap dapat melahirkan zuriat.

"Menurut doktor, saya tiada masalah untuk hamil kerana keadaan saya yang subur. Cuma, ketumbuhan ini menghalang kehamilan saya kerana doktor risau ia akan menjejaskan keadaan anak.

“Doktor bimbang anak yang saya lahirkan nanti akan mengalami kecacatan kerana apabila janin membesar, ketumbuhan ini juga akan turut sama membesar, lebih daripada saiz janin," katanya kepada BH Online ketika ditemui di sebuah pusat perubatan, di sini.

Sebelum ini, calon kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 itu pernah menjalani pembedahan serupa bagi membuang ketumbuhan seberat empat kilogram.

Elizad berkata, dia akan berehat selama sebulan daripada kegiatan seni.

Pada masa sama, kata pelakon itu, doktor meminta dirinya banyak berehat dan tidak terlalu aktif melakukan kegiatan bermotosikal, yang juga hobi utamanya.

"Sebenarnya, Kak Erra (Fazira) menyarankan saya menjalani kaedah persenyawaan in vitro (IVF). Selepas melakukan pemeriksaan kesihatan untuk proses itu, doktor mengesan ketumbuhan di sekitar ovari.

“Jadi, ia perlu dibuang terlebih dulu sebelum menjalani kaedah terbabit. Jika tidak, ia mungkin boleh memberikan kesan kepada kandungan.

"Sebelum ini saya pernah hamil, namun disebabkan cyst ini kandungan saya tak dapat diselamatkan. Jadi, saya berharap sangat selepas pembedahan ini, saya akan dapat anak dengan segera. Saya juga berharap peminat sama-sama mendoakan saya dikurniakan zuriat secepat mungkin,” katanya.

Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015.

Berita Harian X