Selasa, 11 September 2018 | 12:33pm

Riz Ismail berdebar berlakon filem sulung

‘SAHAM’ Riz Ismail terus melambung apabila bakal membintangi filem sulung bercorak Islamik.

KUALA LUMPUR: Tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 31, ‘saham’ Riz Ismail terus melambung apabila bakal membintangi filem sulung bercorak Islamik.

Bekas peserta musim keempat Pencetus Ummah (PU) ini mengaku berdebar diberi tanggungjawab sebagai teraju utama dalam filem Ada Apa Dengan Dosa terbitan Pencil Pictures.

Bakal memulakan penggambaran di ibu negara sebelum ‘terbang’ ke Scotland, awal bulan depan, Riz akan berganding dengan penyanyi, Wanna Ali dalam filem berkenaan.

“Agak gementar... Takut bercampur teruja hendak menggalas watak utama dalam filem sulung ini.

“Insya-Allah, saya akan melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi sebaik mungkin,” katanya kepada BH Online.

Tambah Riz, jadual kerjanya padat apabila kerap menerima undangan produksi drama televisyen (TV) sejak tahun lalu.

“Selepas drama Kelip Kelip Kota London, saya turut membintangi drama Aisyah. Drama yang menjalani penggambaran di luar negara ini diterajui Idris Khan dan Ruhainies,” katanya.

Selain itu, Riz berkata, dia dijangka memulakan penggambaran drama 60 episod, Atas Nama Cinta terbitan produksi Suhan, hari ini.

“Drama itu membariskan pelakon seperti Syatilla Melvin, Saharul Ridzwan, Ikhwan dan Chacha Maembong.

“Komitmen saya untuk drama ini mungkin hanya separuh daripada episod yang bakal diterbitkan,” katanya.

Mengenai pencalonan ABPBH 31, Riz berterus-terang dia tidak terlalu mengharap.

“Kelab peminat saya ada bergabung dengan kelab peminat artis lain untuk mengundi.

“Bolos Top 5 saya anggap sesuatu yang mustahil... Ramai lagi calon berpotensi seperti Fendy Bakry, Asad Motawh dan Ismail Izzani yang menyerlah sejak dua tahun lalu.

“Dapat dicalonkan sudah okay dan bersyukur,” katanya.

Berita Harian X