Jumaat, 21 September 2018 | 3:54pm
KAKA Azraff, pada majlis pelancaran lagu tema dan video muzik Gol & Gincu 2 di Pavilion Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kecewa Kaka terubat nyanyi lagu tema Gol & Gincu 2

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah berdepan kekecewaan apabila tidak terpilih membintangi filem Gol & Gincu pertama, ia tidak sesekali mematahkan semangat penyanyi, Kaka Azraff, untuk terus berjuang dalam bidang seni.

Artis yang kini hangat dengan lagi berjudul Sibuk mendedahkan, dia pernah menyertai uji bakat bagi mencari pelakon Gol & Gincu, namun tuah tidak menyebelahi dirinya ketika itu.

Begitupun, jodoh Kaka dengan filem berkenaan tetap ada apabila dirinya dipilih menyanyikan lagu tema Gol & Gincu 2, yang akan menemui penonton pada bulan depan.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, meluahkan rasa teruja apabila diberi tanggungjawab menyanyikan lagu berjudul Shout It Out, ciptaan sepenuhnya Audi Mok.

“Saya tidak pernah terfikir atau menyangka akan diberikan peluang menyanyikan lagu untuk Gol & Gincu 2. Jika sebelum ini, lagu temanya dinyanyikan oleh ibu saudara saya, Ella, kini saya pula berpeluang berbuat begitu. Ia umpama mimpi dan satu penghargaan bagi saya.

“Saya memang peminat tegar Gol & Gincu, sejak musim pertama lagi. Jadi, apabila dihulurkan peluang untuk menyanyikan lagu ini, saya terus bersetuju. Saya sangat gembira kerana mereka mempercayai kebolehan saya,” kata Kaka ketika ditemui pada sidang media bersempena pelancaran video muzik rasmi lagu tema Gol & Gincu Vol 2.

Menurut Kaka, dia mengambil masa dua hari untuk mempelajari dan membiasakan diri dengan rentak lagu terbabit, manakala proses rakamannya pula berlangsung dalam masa tidak lebih daripada sejam, bersama Audi.

“Sebelum memasuki studio, saya sudah berlatih terlebih dulu supaya menyenangkan proses rakaman nanti. Lagi pun konsep lagu ini sangat ‘catchy’ dan ‘fun’, jadi ia tidak memerlukan vokal yang akrobatik,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap lagu itu, yang mungkin mampu mengulangi sejarah Teruja nyanyian Ella menerusi Gol & Gincu pertama, katanya, dia enggan memasang impian terlalu tinggi.

“Mahu sampai ke tahap pencapaian Ella bukanlah perkara yang mudah. Saya pula sememangnya belum berada pada tahap dirinya lagi.

“Begitupun, jika lagu ini mampu mencapai tahap berkenaan, ia tentunya satu bonus. Saya cuma mengharapkan orang ramai akan teringat pada lagu ini apabila mereka menonton Gol & Gincu 2 nanti,” kata calon kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini.

Berita Harian X