Ahad, 23 September 2018 | 4:23pm
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (belakang, lima dari kanan) bersama Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (belakang, lima dari kiri) dan Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil (tengah) bersama finalis ABPBH 31 pada majlis prakemuncak ABPBH 31 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Turut sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (empat dari kanan) dan Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir (kanan). - NSTP/Nurul Syazana Rose Azman
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (belakang, lima dari kanan) bersama Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (belakang, lima dari kiri) dan Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil (tengah) bersama finalis ABPBH 31 pada majlis prakemuncak ABPBH 31 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Turut sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (empat dari kanan) dan Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir (kanan). - NSTP/Nurul Syazana Rose Azman

Otai, bakat baharu hangatkan malam kemuncak ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Teka-teki siapa bakal menjayakan segmen persembahan dan menyampaikan trofi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, dua minggu lagi, terjawab apabila penganjur membariskan artis ternama, baharu dan lama menggalas tanggungjawab itu.

Sesuai dengan objektif meraikan mereka yang popular, penganjur turut menetapkan kriteria serupa sebagai pengisi acara.

Antara nama besar yang akan menyemarakkan pentas dalam segmen persembahan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jeffrydin, Ramlah Ram, Amy Mastura, Misha Omar, Siti Sarah, Aizat Amdan, Hafiz Suip, Ernie Zakri dan Mimi Fly.

Kalangan artis generasi baharu yang terpilih memperdengarkan suara mereka pada malam kemuncak nanti pula adalah Syamel, Sufian Suhaimi, Ismail Izzani, Masya Masyitah dan Kugiran Masdo.

Bagi menyempurnakan tugas menyampaikan trofi kepada pemenang, penganjur memilih wajah glamor yang bukan sekadar masyhur, tetapi cemerlang dalam kerjaya seni masing-masing.

Mereka adalah Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Fauziah Latiff, Datuk Hans Isaac, Fattah Amin, Nur Fazura, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Sangeeta Krishnasamy, Abam dan Mark Adam.

Tidak ketinggalan, aktor ‘hot’, Syafiq Kyle, Zahirah Macwilson, Hael Husaini dan Nabila Razali.

Ajak Shiro, Janna Nick dan Zara Zya pula diumumkan sebagai sebagai hos utama, malam itu.

AJAK dan Zara Zya ketika diumumkan pengacara bagi ABPBH 31 pada majlis prakemuncak ABPBH 31 di Istana Budaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
AJAK dan Zara Zya ketika diumumkan pengacara bagi ABPBH 31 pada majlis prakemuncak ABPBH 31 di Istana Budaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Semua nama artis terbabit dikongsi pada sidang media pengumuman prakemuncak ABPBH 31 di Lambang Sari, Istana Budaya, semalam.

Turut hadir, Penaung ABPBH 31 merangkap Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengasas Alha Alfa Cosmetics yang juga penaja utama, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa ABPBH 31 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.

Acara itu dihoskan penyampai radio, Kool FM, Haiza dan Muaz.

Dilihat antara tunggak utama atau jantung kepada keseluruhan acara, segmen persembahan diberikan penekanan bagi memastikan acara lancar, menghiburkan dan mampu meninggalkan memori manis kepada penonton.

Mengulas lanjut perkara itu, Penerbit Eksekutif Malam Kemuncak ABPBH 31, Nurhul Huda Khalid, meletakkan sepenuh kepercayaan pada barisan artis terpilih untuk menjadikan acara berkenaan sebagai yang terbaik pernah dianjurkan.

“Melihat pada barisan artis terpilih, kami yakin hiburan disajikan tidak akan mengecewakan. Malah, gabungan yang diatur juga memberi lebih warna dalam persembahan mereka.

“Selain yakin dengan kredibiliti dan kemampuan mereka, ada antara penyanyi terpilih menepati tema ABPBH 31 iaitu Infiniti.

“Mereka bukan sekadar tidak mengehadkan karier seni dan sentiasa terbuka dalam mencuba sesuatu yang baharu, malah mampu bertahan berpuluh-puluh tahun dalam industri. Ini menunjukkan mereka relevan walaupun artis baharu datang silih berganti,” katanya kepada BH Online.

Tambahnya, bagi membantu menterjemahkan makna Infiniti bagi acara kali ini, mereka memilih konsep sesuai untuk ditonjolkan pada pentas utama.

“Sepanjang persembahan berlangsung, penonton dalam dewan mahupun di rumah akan menyaksikan konsep Infiniti menerusi LED yang dipasang di pentas.

“Kami akan menggunakan banyak LED... Di situlah pelbagai grafik dan visual dipancarkan bakal membantu menterjemahkan tema itu,” katanya.

Berkongsi perasaan apabila terpilih menjayakan persembahan pada malam kemuncak acara berprestij untuk julung kalinya, Syamel akui bangga dengan peluang diberi.

“Apabila mendapat tahu saya akan terbabit dalam segmen persembahan malam kemuncak ABPBH 31, saya akui cukup bangga kerana dapat berkongsi pentas bersama penyanyi lagenda tanah air.

“Peluang itu takkan dipersiakan kerana platform ini pastinya digunakan untuk terus bertapak dan mengukuhkan lagi nama saya dalam industri seni.

“Saya juga takkan mengambil mudah tugasan yang diberikan. Ini kerana walaupun ia sekadar persembahan nyanyian, saya tetap akan memberikan yang terbaik supaya semua orang puas hati, terhibur dan tidak mengecewakan sesiapa,” janji Syamel.

Bagi artis baharu, Masya, dirinya bagaikan hilang kata-kata apabila dimaklumkan bakal membuat persembahan pada malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.

“Bagi saya, ABPBH adalah medium terbaik untuk mempromosikan diri serta menonjolkan bakat sebenar dalam diri.

“Bagi persembahan pada 7 Oktober nanti, saya akan berduet dengan Sufian. Kami akan menyanyikan sebuah lagu cukup popular yang pernah saya dendangkan dalam sebuah program realiti dulu.

“Saya tentunya berasa berdebar apabila dipadankan dengan artis cukup dikenali seperti Sufian. Harapan saya adalah untuk melaksanakan tugas yang diberikan itu dengan sebaik mungkin,” katanya yang popular dengan lagu Mawar Terbiar.

ABPBH 31 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober depan, mulai jam 9 malam.

BARISAN finalis ABPBH 31 sempena majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 31 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Rosela Ismail
BARISAN finalis ABPBH 31 sempena majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 31 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Rosela Ismail

Info

  • Malam kemuncak ABPBH 31 akan menggunakan khidmat seramai 12 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Faizal Uzir atau Lok U.
  • Kumpulan Fita Dance Theatre yang juga pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (Fita) Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengiringi satu daripada sembilan persembahan disajikan.
  • ABPBH 31 akan menghadiahkan trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada seorang tokoh seni yang akan diumumkan pada malam kemuncak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X