Selasa, 25 September 2018 | 9:19am
ARIFF dikatakan degil dan besar kepala sejak nama mula dikenali. - Foto Faiz Anuar

Degil sebab pertahan prinsip kerja

KUALA LUMPUR: Dikatakan degil dan suka mengikut kepala sendiri, penyanyi baharu, Ariff Bahran bertegas, semua itu dilakukan untuk mempertahankan prinsip dan demi masa depan kerjaya nyanyiannya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kata Akhirmu itu berkata, dia positif dengan pendiriannya, malah akan mempertahankannya jika keputusan diambil membawa kebaikan kepada perkembangan kerjayanya.

“Saya tahu ada yang menganggap saya mempunyai masalah disiplin kerana pernah datang lewat ke kelas ketika menyertai program realiti, Big Stage. Silap saya kerana tidak memaklumkan terlebih awal kepada produksi mengenai kelewatan itu.

“Ia bukan disengajakan kerana ketika itu, saya perlu membantu ibu. Saya sudah meminta maaf dan mula mendisiplinkan diri. Sebagai orang baharu, banyak lagi yang saya perlu belajar untuk memperbaiki diri.

“Begitu juga apabila saya dikatakan degil. Ia sebenarnya lebih ke arah positif. Contohnya, jika saya selesa dengan sesuatu konsep persembahan, saya tidak akan sewenang-wenangnya membuat perubahan hanya untuk memuaskan hati orang lain," katanya.

Pemilik nama lengkap, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari itu akur, sejak namanya dikenali, setiap gerak-geri dan tingkah lakunya sering diperhatikan. Dia juga semakin peka menjaga nama baiknya kerana tidak mahu dikaitkan lagi dengan cerita negatif.

“Saya banyak menimba ilmu , terutama dari segi komunikasi dan cara menyesuaikan diri dengan situasi baharu. Ia bukan mudah, terutama pada permulaan. Alhamdulillah, saya tiada masalah bergaul dengan sesiapa. Berselisih faham itu biasa, tetapi tidak sehingga bermasam muka seperti yang didakwa," katanya.

Meskipun gagal menempatkan diri dalam senarai finalis, Ariff berkata, ia tidak mematahkan semangatnya meneruskan langkah dan sedang menumpukan perhatian untuk mempromosikan single keduanya, Juara Dusta.

"Harapan saya, lagu ini diterima ramai, sekali gus membantu saya mengekalkan kedudukan dalam bidang muzik.

Memang agak terkilan kerana tinggal selangkah sebelum ke final, tetapi saya reda rezeki hanya setakat itu. Saya akan kembali sebagai Ariff Bahran yang baharu," ujarnya.

Populariti lagu Kata Akhirmu juga membawa jejaka berusia 20 tahun ini membolosi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Mengulas lanjut pencalonannya dalam anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, Ariff mengakui, teruja kerana diberikan penghormatan sebesar itu.

"Bukan soal kemenangan menjadi perkara utama, tetapi dicalonkan dalam anugerah berprestij sudah membuat saya teruja dan bangga. Usaha peminat amat saya hargai. Terima kasih atas sokongan yang diberikan sejak saya mula bertapak,” katanya.

Berita Harian X