Jumaat, 28 September 2018 | 9:04pm
PELAKON, Janna Nick. - Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

2 hari dapat RM2,000 - Janna Nick

[email protected]

KUALA LUMPUR: Walaupun dikecam gara-gara mengenakan bayaran untuk setiap ucapan kepada peminat, pelakon, Janna Nick, 23, mampu meraih RM2,000 dalam masa dua hari.

Menurut bintang Semerah Cinta Humairah itu, dia tidak menyangka perkhidmatan terbabit mendapat maklum balas cukup baik daripada orang ramai.

"Sudah dua malam saya menjayakan servis ini, membolehkan saya meraih RM2,000. Ternyata, orang ramai mahukan servis ini, bukannya saya yang memaksa," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Dua hari lalu, status mengenai promosi servis ucapan #wishservicebyjannanick dengan bayaran RM50 di Instagram Story mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk golongan selebriti tempatan.

Dalam pada itu, Janna mengakui tidak terkesan dengan reaksi negatif terbabit, walaupun sebahagiannya turut memuat naik video yang seolah-oleh memperli tindakannya.

"Menjadi lumrah, setiap perkara yang dilakukan selebriti akan mengundang kecaman dan juga pujian. Saya tidak terkesan pun.

"Mereka kena faham, tidak semua benda yang tak disukai oleh mereka akan turut dibenci orang lain. Ada yang menyokong servis saya perkenalkan ini.

"Tak kisahlah jika netizen mahupun artis memberikan pandangan masing-masing, sama ada positif atau sebaliknya mengenai servis saya buat ini. Ia secara tidak langsung menjadi promosi untuk saya," ujarnya.

Sementara itu, ketika servis ucapan Janna diperkatakan netizen, pelakon, Mawar Rashid, juga mengikut jejak langkahnya dengan menawarkan kadar lebih rendah, iaitu RM20 untuk setiap ucapan dibuat.

Ditanya mengenai persaingan dalam perkhidmatan terbabit, hos Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu mengaku tidak bimbang mengenai perkara berkenaan.

"Bagi saya, ia persaingan yang sihat. Lagipun, nilai harga ditawarkan oleh Mawar sesuai dengan jumlah pengikutnya sekarang," katanya ringkas.

Ketika ini, Janna mempunyai 3.9 juta pengikut di Instagram, berbanding Mawar dengan 1.9 juta orang.

Berita Harian X