Sabtu, 29 September 2018 | 10:09am
PENYANYI dan pelakon, Fauziah Latiff. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Watak misteri jadi pilihan Jee

KUALA LUMPUR: Enam tahun tidak berlakon, Fauziah Latiff, 48, kembali ke lokasi penggambaran menerusi telefilem berjudul Korban Penunggu Hospital.

Pemilik nama penuh Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff itu berkata, dia tertarik untuk beraksi semula di layar kaca kerana watak Kesuma yang ditawarkan kepadanya penuh misteri.

Katanya, ditambah dengan plot cerita yang menarik, dirinya terbuka untuk mencabar diri menjayakan naskhah terbabit.

“Sebelum ini, soal masa membuatkan saya perlu mempertimbangkan tawaran yang datang. Bukan saya sengaja menolak mana-mana pelawaan. Namun, bagi projek lakonan kali ini, babak membabitkan saya pun tidaklah panjang.

“Ketika ditawarkan membintangi Korban Penunggu Hospital, saya diberi penerangan mengenai watak berkenaan, selain kisahnya sendiri yang mistik dan seram.

“Kesuma sangat berbeza dengan watak pernah saya bawakan sebelum ini, sekali gus memberikan cabaran tersendiri,” katanya selepas sidang media prakemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31).

Telefilem seram yang menjalani penggambaran beberapa minggu lalu itu turut membariskan pelakon seperti Aprena Manrose, Fatin Afeefa, Kodi Rasheed, Andi Bernadee dan Jaa Suzuran.

Pada 2012, Fauziah muncul dalam telefilem berjudul Ke Pintu Bahagia bersama Fahrin Ahmad dan Faizal Hussein.

Sementara itu, pada malam kemuncak ABPBH 31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober depan, Fauziah yang mesra disapa Jee terpilih sebagai penyampai trofi bersama-sama Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima dan Datuk Hans Isaac.

Selebriti lain yang menggalas tugas sama ialah Fattah Amin, Nur Fazura, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Sangeeta Krishnasamy, Abam, Mark Adam, Syafiq Kyle, Zahirah Macwilson, Hael Husaini dan Nabila Razali

Mengimbas memori lalu, Fauziah yang pernah dinobatkan sebagai Penghibur TV Wanita Popular musim 1992 dan 1993 berkata, kenangan manis terbabit masih segar dalam ingatan.

“Zaman berubah, namun BH selaku akhbar berpengaruh meneruskan tradisi menghargai karyawan seni menerusi anugerah berdasarkan pilihan peminat sendiri.

“Penghargaan sebegini tentu saja menyuntik semangat, sekali gus menjadi gelanggang perhimpunan buat semua penggiat dan pemerhati industri seni,” kongsi penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu lagi.

Berita Harian X