Isnin, 1 Oktober 2018 | 9:35am
NORA berlakon sebagai pesakit kanser rahim dalam telefilem, Hingga Jumpa Lagi. - Foto Instagram Nora Danish

Lucu disamakan dengan suami gara-gara 'botak'

KUALA LUMPUR: Pelbagai komen dilontarkan peminat apabila pelakon jelita, Nora Danish berkongsi gambar berkepala botak di laman sosial, Instagram hingga ada yang menyangka, dia benar-benar mengorbankan rambutnya.

Sekalipun sudah menjelaskan, dia berimej begitu untuk disesuaikan dengan tuntutan karakter Eva yang menderita kanser rahim tahap empat dalam telefilem, Hingga Jumpa Lagi terbitan KL Motion Picture, ramai yang meluahkan simpati.

“Jika nanti ada karakter yang memerlukan saya botak, saya tidak keberatan berbuat demikian. Namun, banyak faktor perlu diambil kira sebelum bersetuju membotakkan kepala.

“Lagipun, sekarang banyak teknik dan kesan khas boleh digunakan untuk merealisasikan watak seperti itu. Dalam telefilem ini, saya mendapat bantuan jurusolek, Sherry Alauddin.

“Proses solekan bagi menjelmakan karakter Eva tidak lama, sekitar sejam untuk memasang getah lateks itu,” kata pelakon yang sedang popular menerusi drama, Bahagia Bukan Bidaan siaran TV3.

Dalam ramai yang memuji dia masih kelihatan cantik biarpun tanpa rambut, Nora tidak mampu menahan ketawa apabila imejnya itu disamakan dengan suami, Nedim Nazri dan anaknya, Mohamed Neqayl Nazri atau Ney Ney.

NEY NEY penyeri kebahagiaan rumah tangga Nora Danish dan Nedim. - Foto Instagram Nora Danish

“Pelbagai komen diberikan termasuk disamakan dengan karakter Profesor Xavier dalam filem, X Men dan selain Ah Mui, penjaga gol dalam filem Shaolin Soccer yang dilakonkan Zhao Wei.

“Lebih membuat saya geli hati apabila imej saya itu juga disamakan dengan suami dan Ney Ney,” katanya.

Kali ketiga bergandingan dengan Kamal Adli dalam telefilem arahan Wan Hasliza itu, Nora menyifatkan jejaka itu sebagai pelakon berbakat besar dan sangat semula jadi ketika di lokasi penggambaran.

“Kami terlebih dahulu digandingkan dalam drama, Ana Lulu, seterusnya filem, Isteri Untuk Dijual. Tidak susah mencari keserasian kerana Kamal selamba dan suka berjenaka,” katanya.

Berita Harian X