Isnin, 1 Oktober 2018 | 11:34am
NAIM seru anak muda bangkit memperkasakan diri menerusi Sempurna. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Jangan terlalu ikut telunjuk orang lain'

KUALA LUMPUR: Penyanyi muda, Naim Daniel berharap, lagu terbarunya, Sempurna akan memberi motivasi dan menyuntik keyakinan diri kepada remaja yang terpaksa berdepan tekanan gara-gara menelan cemuhan insan sekeliling.

Naim, 21, berkata lagu ciptaannya bersama Omar K dan Adib Hamdi itu memberi kesedaran supaya anak muda tidak lagi mengabaikan diri serta cita-cita kerana tunduk kepada tekanan dan pandangan negatif orang lain.

“Pandangan negatif insan sekeliling mampu mematahkan semangat dan jati diri, terutama pada era media sosial. Disebabkan terlalu risau memikirkan pandangan orang lain, kita sanggup mengabaikan diri dan mengorbankan cita-cita.

“Saya pernah melaluinya ketika mula bertapak sebagai penyanyi. Namun, saya cepat tersedar. Sampai bila saya harus mengikut telunjuk orang lain hingga saya tidak berani memulakan sendiri langkah. Sejak itu, saya berusaha keras membuktikan saya juga ada bakat.

“Saya harap lagu ini akan memberi inspirasi dan harapan kepada mereka yang pernah melalui masalah sama untuk bangkit mempertahankan diri. Jangan biarkan orang lain menentukan jalan yang kita pilih,” katanya.

Dikenali menerusi filem, Bisik Pada Langit, Naim berkata, Sempurna juga membawa mesej supaya sayangi diri dengan memperkasakan semangat dan tidak gentar berdepan halangan dalam hidup.

“Kita kena sayang diri dan mempunyai hak untuk menentukan jalan hidup sendiri. Mengapa perlu mengikut telunjuk orang lain? Hidup ini terlalu berharga untuk disia-siakan begitu sahaja,” katanya.

Artis naungan World Peace Entertainment yang mula menceburi industri hiburan sejak usia 13 tahun itu pernah muncul mempertaruhkan single pertama, Sekali Lagi.

Turut bersaing sebagai calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31), Naim berkata, dia enggan meletak harapan tinggi untuk menggenggam kemenangan.

“Saya anggap pencalonan yang diterima sebagai penghargaan besar terhadap usaha saya selepas sekian lama dalam industri seni. Alhamdulillah, akhirnya bakat saya diperhatikan. Berada dalam senarai calon awal sudah buat saya berbangga,” katanya.

Berita Harian X