Selasa, 2 Oktober 2018 | 5:09pm
SANGEETHA Khrisnasamy. - Foto Eizairi Shamsudin
SANGEETHA Khrisnasamy. - Foto Eizairi Shamsudin

Sangeeta dilamar produksi Kollywood

KUALA LUMPUR: Bintang Adiwiraku, Sangeetha Khrisnasamy, 32, dijangka akan 'berkampung' kira-kira sebulan di Chennai, India bagi menjalani penggambaran filem Kollywood, Disember depan.

Katanya, dia masih belum dapat mendedahkan judul dan barisan pelakon lain disebabkan pihak produksi yang berpangkalan di sana sedang memperincikan butiran lanjut.

"Memang jadual saya agak padat akhir tahun ini kerana bakal menjayakan sebuah filem Tamil di Chennai. Berdasarkan perbincangan awal, saya dimaklumkan penggambaran akan berlangsung sekitar sebulan.

"Ketika ini, saya selesaikan dulu beberapa komitmen di sini. Saya terpanggil untuk mempertimbangkan tawaran yang memerlukan saya terbang hingga ke India disebabkan karakter dan naskhah yang menarik," katanya yang ditemui selepas program Wanita Hari Ini (WHI), semalam.

Sangeetha yang pernah membintangi filem Kollywood, Goa dan Zha The Movie diundang menyerikan program bual bicara itu bersama penyanyi, Hael Husaini sebagai sebahagian daripada promosi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Pada malam kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Ahad ini, Sangeeta bakal bergandingan dengan Datuk Hans Isaac sebagai penyampai trofi.

Lebih istimewa, pada musim terbaru ABPBH ini, Sangeeta yang pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 turut dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Baharu Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.

"Dahulu, saya hanya menjadi pemerhati, tetapi kali ini berpeluang hadir sebagai calon, selain menaiki pentas melunaskan amanah sebagai penyampai trofi.

"Melihat calon lain yang hebat, saya menyerahkan semuanya kepada rezeki. Saya menganggap majlis anugerah besar seperti ABPBH sebagai ruang untuk berkumpul dengan rakan seperjuangan. Kesempatan itu sangat bermakna," katanya.

Berita Harian X